Menteri Minta Portal Berita Kawal Kebebasan Ruangan Komen Pembaca

KUALA LUMPUR – Pengendali portal dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam mengawal serta menyelia khasnya ruangan komen agar tidak disalah guna oleh golongan tertentu.

Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh melahirkan rasa bimbang kerana ruangan komen dalam segelintir portal sebenarnya tidak terkawal sehingga menyebabkan perpecahan khasnya antara kaum ketika ini.

Kata Gobind, pihaknya sedia maklum ruangan komen sesebuah berita dalam portal atau laman sesawang ketika ini sebenarnya memberikan ‘kebebasan’ untuk melakukan provokasi.

“Sebenarnya saya sangat berharap sekiranya pengendali portal-portal ini lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam membuka ruangan komen kepada umum memberi pandangan.

“Saya mohon kepada para pengendali portal-portal ini supaya memantau ruangan itu agar sesuatu komen atau pandangan dilontarkan itu tidak memberi impak kepada kerharmonian sedia ada.

“Kita semua faham ketika era ini rata-rata kita sebenarnya bergantung kepada media sosial, dalam masa kita kena pastikan bahawa pada setiap masa berhati-hati ketika menggunakan media sosial.

“Saya amat bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang juga ada menyentuh isu-isu berkaitan dengan penggunaan media sosial, jangan gunakan sehingga memudaratkan negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Jelas Gobind lagi, sebagai rakyat Malaysia yang mencintai negara masing-masing mempunyai tanggungjawab besar dalam menjaga perpaduan supaya sentiasa terjaga.

“Apa kita paparkan dalam portal berita kita sebenarnya perlu memberi kepentingan kepada perpaduan dan keselamatan negara terlebih dahulu. Jangan salah gunakan media sosial,” ujarnya.

Sebelum ini, Gobind mendedahkan kerajaan sedang mengkaji untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memadamkan paparan berbaur perkauman.

Tambah Gobind, itu merupakan antara langkah yang akan dilaksanakan sejajar hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang menangani penyalahgunaan media sosial.

“Kerajaan dalam proses gubal dan pindaan kepada undang-undang supaya ia lebih efektif tangani isu perkauman, keagamaan selain menyentuh institusi raja di media sosial yang semakin meruncing.

“Kita juga sedang melihat bagaimana SKMM boleh diberikan kuasa untuk memadam paparan (di media sosial) yang mempunyai unsur seperti ini.

“Perkara ini masih dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak, saya harap dapat kemukakan (bentang) dalam sesi Parlimen kali ini yang akan bersidang minggu depan, tapi sekiranya tidak sempat, kita akan bentang pada Julai nanti,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.