Agong Rasmi Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di bangunan Parlimen untuk merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama permaisuri, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada jam 10.10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Hadir sama menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta suami yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Al-Sultan Abdullah kemudian menerima sembah ‘Hormat Diraja’ daripada Mejar Ahmad Safuan Jaafar yang mengetuai barisan kawalan keselamatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ia diikuti nyanyian lagu ‘Negaraku’ dimainkan oleh pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diiringi 21 das tembakan meriam.

Baginda kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan enam pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja yang diketuai Ahmad Safuan.

Al-Sultan Abdullah kemudian berangkat memasuki Dewan Rakyat bagi menyampaikan Titah Diraja Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.