Kesengsaraan Menanti Rakyat Korea Utara Berpaling Tadah

BANGKOK – Bagi rakyat Korea Utara yang cuba lari ke negara lain untuk membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan diktator di negara sendiri, kehidupan penuh sengsara menjadi ganjaran sekiranya usaha mereka itu menemui kegagalan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beratus-ratus rakyat negara itu menggadai nyawa dengan menyeberangi Sungai Tumen yang memisahkan Korea Utara dan China untuk memulakan kembara penuh berbahaya, dengan harapan untuk akhirnya sampai ke Korea Selatan.

“Mereka tahu, sekiranya tertangkap, mereka berdepan hukuman berat, termasuk dihumban ke ‘Gulag, kem kerja berat seperti yang terdapat pada era penatdbiran Soviet,” kata Tomoharu Ebihara daripada Persatuan bagi Menyelamatkan Mangsa Culik Korea Utara (ARNKA) yang berpangkalan di Thailand kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam sesetengah kes, kata warganegara Jepun itu, hukuman mati menanti mereka yang ditangkap ketika cuba meninggalkan negara komunis tersebut secara haram.

Menurut beliau, jumlah mereka yang berpaling tadah menurun sejak Kim Jong-un mengambil alih pentadbiran negara itu daripada mendiang bapanya apabila beliau mengarahkan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang cuba melarikan diri dari negara itu.

Beliau berkata, bagi rakyat Korea Utara, perjalanan mereka ke Korea Selatan boleh memakan masa setahun atau lebih jika mereka tidak ditangkap negara tuan rumah dan dihantar pulang ke negara asal, dengan kemungkinan besar hukuman mati menunggu mereka di tanah air sendiri.

Kata Ebihara, sesetengah rakyat Korea Utara yang berpaling tadah pula tidak tahu bagaimana caranya untuk pergi ke Korea Selatan dan ini mendedahkan diri mereka untuk dijadikan mangsa oleh sindiket pemerdagangan orang.

Beberapa pertubuhan bukan Korea Selatan, termasuk kumpulan mubaligh Kristian, katanya, meletakkan anggota mereka di sempadan Korea Utara-China untuk memberi bantuan kepada mereka yang melarikan diri itu.

Ebihara berkata jika sekalipun berjaya meninggalkan Korea Utara, mereka yang melarikan diri itu terus berdepan dengan ancaman daripada ejen Pyongyang, yang mengekori mereka, dan dalam kes yang berjaya dibongkar beberapa tahun lepas, ejen berkenaan menyamar sebagai orang yang melarikan diri juga.

Menurut Ebihara, sejak beberapa tahun lepas, persatuan yang dianggotainya itu memberi bantuan kepada rakyat Korea Utara yang berjaya sampai ke Thailand setelah melalui perjalanan selama beberapa bulan atau tahun dengan merentas beberapa negara.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.