DAP Sentiasa Perkecil Isu Berkaitan Islam, Kata Pemimpin PAS

SHAH ALAM – Disindir supaya menyertai jemaah tabligh, PAS, sebagaimana sebelum ini sekali lagi menyifatkan DAP sebagai sebuah parti biadap dan tidak menghormati Islam.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pusat, Mohd Khalil Abdul Hadi ketika mengulas saranan Naib Pengerusi DAP, Zairil Khir Johari mengumpamakan PAS dan jemaah tabligh yang menjadi rujukan bekas rakannya di dalam Pakatan Rakyat (PR) itu sebagai adik-beradik.

“Sekarang DAP sekali lagi menunjukkan sikap biadap, menyamakan PAS dengan jemaah tabligh sedangkan PAS dan jemaah tabligh umpama adik-beradik, walaupun wadahnya berbeza.

“(Kerana) PAS membawa politik dakwah, manakala jemaah tabligh pula fokus kepada (aktiviti) dakwah. Tetapi kita bersama-sama bekerja untuk dakwah Islam, melihat perkembangan Islam lebih baik dalam negara.

“Ia kenyataan konsisten daripada DAP yang sentiasa merendahkan perkara berkaitan Islam. Jika sebelum ini kita lihat dalam isu Majlis Fatwa di Pulau Pinang, DAP masuk campur, begitu juga isu RUU 355 sedangkan ia berkait dengan hal orang Islam,” tegasnya kepada Antarapos.

Zairil, pada semalam menyarankan PAS meninggalkan arena politik negara selepas kepimpinan parti itu mengeluarkan kenyataan untuk tidak menjadikan Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai agenda utama.

Lebih lanjut beliau mencadangkan ahli-ahli PAS menjadi jemaah tabligh, selain menuduh parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebagai hilang arah tuju dan matlamat asal perjuangan.

Ia berikutan kenyataan daripada Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang menegaskan parti itu tidak meletakkan kemenangan pada PRU sebagai matlamat utama perjuangan.

PAS mahu kemenangan yang diredhai Allah

Mengulas ‘saranan’ Zairil, Khalil mendakwa kenyataan Hashim itu sengaja disalah tanggap DAP sebagai cubaan menyerang PAS.

Bukan bermakna PAS tidak mahu kemenangan, sebaliknya setiap kemenangan itu perlu disusuli dengan keredhaan Allah SWT, tegas Khalil.

“Beliau (Hashim) sebut matlamat PAS bukan hendak menang pilihan raya tetapi mendapat redha Allah SWT. Saya beri contoh seseorang yang berniaga. Jika kita orang Islam dan berniaga, kita hendak redha Allah, namun dalam masa sama kita hendakkan untung. Begitu juga dalam PAS, kita masuk pilihan raya sebab nak redha Allah, namun tetap hendak menang.

“Jika DAP anggap kenyataan Hashim bermakna PAS tidak mahu menang dalam pilihan raya, itu tak betul. Kita mahu menang namun biarlah kemenangan itu yang boleh membawa, membela dan memberikan kekuatan kepada Islam dan umatnya,” demikian menurut anak Hadi itu lagi.

Khalil ketika menjawab kritikan DAP selepas PAS enggan lagi bekerjasama dengan mana-mana parti yang memperjuangkan dasar liberal dan sekular, beliau meminta parti berkenaan mengimbau kembali sejarah lama ketika di dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Kerana DAP melanggar perjanjian. Kita kena ingat ketika PAS bersama-sama dalam PR, di dalam tahaluf siyasi itu, antara perjanjiannya adalah setiap parti kena menghormati dasar parti masing-masing.

“PAS menghormati dasar parti DAP, maka DAP pun perlu begitu. Namun apa yang berlaku apabila DAP menang besar dalam PRU13 mendahului rakan-rakan yang lain dalam PR, mereka menunjukkan wajah sebenar,” tegasnya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.