Unsur Politik Khurafat Mula Muncul Dalam PAS?

Oleh: Abdul Rahman Malik

 

Seharusnya pemimpin dan penyokong PAS sentiasa berhati-hati dalam membuat pertimbangan untuk memilih siapa yang wajar memimpin parti dalam Muktamar Jun ini demi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14.

 

Lantaran itu, setiap pemikiran dan kecenderungan pemimpin sedia ada (dan pemimpin yang bakal diketengahkan) haruslah diteliti bagi memastikan mereka tidak keliru dan terjebak dalam retorik politik sahaja.

 

Dalam usaha itu, pandangan dan pendapat tokoh-tokoh parti yang mungkin tidak memegang apa-apa jawatan dalam pimpinan mestilah dijadikan neraca sebelum membuat keputusan yang amat penting itu.

 

Sesungguhnya demonstrasi “luar biasa” dianjurkan Pemuda PAS Kuantan pada 8 Februari lalu secara rasminya memberitahu umum bahawa ada pergolakan dan persaingan sengit bakal berlaku bagi menduduki kerusi pimpinan parti.

 

Paling penting demonstrasi di ibu pejabat PAS itu mendedahkan ada komplot untuk menumbangkan presiden, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Sejak beliau memegang amanah memimpin PAS pada 2003, beliau belum pernah dicabar.

 

Yang agak menghampakan, usaha untuk mengganti presiden ini dilakukan secara berkomplot. Ini bukan budaya PAS. Justeru sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan bagi meneliti kesahihan dan kebenaran dakwaan itu.

 

Bagaimanapun kelmarin pemimpin muda yang mendedahkan budaya “baru” dalam PAS ini, Fadhli Ibrahim, tampil sekali meluahkan rasa kecewa parti tidak ambil berat aduannya.

 

Dalam catatan di Facebooknya, Fadhli mendakwa Jawatankuasa Khas Siasatan itu dianggotai oleh ‘individu yang terlibat’ dalam komplot berkenaan.

 

Fadhli sebelum ini menamakan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan beberapa pimpinan pusat lain sebagai dalang menjatuhkan Presiden parti itu.

 

Lantas amat wajarlah cara dan pemikiran pemimpin-pemimpin PAS silam digali semula bagi mengutip idea dan pendekatan yang boleh digunakan bagi mengelak PAS hancur dek politik pragmatisme dan sekular ini.

 

Antara pemikiran yang seharusnya diteliti oleh penyokong dan pemimpin PAS ialah pandangan al marhum Ustaz Fadzil Noor yang mengatakan bahawa Umno yang menjadi saingan PAS sudah menjadi satu khurafat.

 

Umumnya, pengertian khurafat ialah mitos, sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan. pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.

 

Di antara faktor yang mendorong berlakunya khurafat ialah mudah mempercayai benda-benda tahyul kerana cetek ilmu agama dan mudah pula terpengaruh dengan kelebihan seseorang atau sesuatu benda.

 

Penulis veteran PAS, Subky Latif yang menggali kata-kata hikmat almarhum presiden PAS itu merumuskan khurafat boleh membelenggu kepercayaan dan selagi ia tidak diruntuhkan rakyat akan terus dibelenggu khurafat berkenaan.

 

“Kerana Umno yang menindas itu tidak dapat diruntuhkan bukan sahaja sekalian jadi pencarum khurafat, maka banyak kerosakan berlaku, di alam kita, pada politik, ekonomi, sosial, akhlak, akidah dan lain.

 

“Jika dibenarkan mustakbirin ini berterusan, maka tiada jaminan masa depan negara dan generasi terkemudian,” tulis Subky dalam sebuah portal berita, Detikdaily.net.

 

Memang bernas pemikiran Subky itu. Bagaimanapun politik berpuak dan berkomplot dalam parti seharusnya dielakkan kerana jika diizinkan, politik khurafat ini boleh menjalar dalam PAS.

 

Ini kerana dalam pertembungan pemikiran politik kumpulan-kumpulan dalam PAS, ada percubaan untuk menggunakan kepercayaan khurafat bahawa Pakatan Rakyat “adalah satu-satunya cara untuk mencapai objektif politik PAS”.

 

“Pemimpin tertinggi dalam muktamar perlu jelas, tak boleh flip flop. Sebagaimana pernah kita tentukan PR adalah jalan dan cara untuk mencapai objektif politik. Bukan hanya reda Allah,” kata ahli Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Dzulkifley Ahmad.

 

Dalam wawancara dengan sebuah portal pro-pembangkang Isnin lalu, beliau mencabar pihak yang melemparkan dakwaan bahawa kerjasama Pakatan Rakyat satu hubungan songsang dan sesat, tampil membuktikan dakwaan berkenaan.

 

Soalnya, tepatkah rumusan bahawa hanya melalui Pakatan Rakyat, PAS akan mencapai objektifnya? Tidakkah kebergantungan perjuangan pada Pakatan Rakyat ini melulu hingga boleh menjadi satu khurafat?

 

Obsesi sebegini perlu dileraikan oleh ulama PAS kerana ia boleh menyempitkan pemikiran politik PAS dan meruncingkan lagi perselisihan faham di kalangan ahli-ahli PAS sendiri.

 

Wawancara yang diatur untuk beliau memperjelaskan apa yang berlaku dalam kes serangan dua lelaki terhadapnya di halaman rumahnya minggu lalu, melarat untuk mempertikai pemimpin, khususnya Presiden.

 

Sindiran pertama yang dinyatakan Dzulkifley dalam wawancara itu ialah apabila beliau berkata presiden PAS perlu menunjukkan kepimpinan yang adil dan tidak berpihak.

 

“Saya mahu presiden menzahirkan kepimpinannya dengan tidak berpihak dan mengizinkan anak buah menunjukkan prestasi mereka.

 

“Ahli mahu saksikan peranan presiden sebagai ayahanda kepada keluarga besar ini dilihat melakukan usaha menyatukan hati kami dengan tidak berpihak, adil dan tidak meminggirkan mana-mana kelompok dalam parti.

 

“Persoalannya sekarang sejauh mana orang menilai presiden memainkan peranan itu?” katanya.

 

Katanya, pemimpin perlu mempunyai wawasan dan arah tuju bagi membolehkan matlamat sesebuah organisasi tercapai.

 

“Pimpinan kalau tidak ada wawasan, tolong ke tepi. Jika tidak tahu arah tuju ke mana, mereka akan ke mana-mana. Itu bahasa pengurusan. Jika tidak tahu ke mana arah tuju, kita akan sampai tetapi destinasinya tidak diketahui,” katanya.

 

Tidakkah khurafat namanya jika ada pemimpin PAS miula beriktikad bahawa cuma Pakatan Rakyat sahaja yang boleh memenangkan PAS dalam pilihanraya?

 

Bukankah kritik peribadi pula namanya apabila Dr Dzulkifley menyeru pemimpin yang tidak ada wawasan supaya ke tepi?

 

Walhal Haji Hadi sudah memimpin PAS lebih satu dekad dan sejak 2008 pula PAS sudah menjadi komponen penting dalam sistem politik Malaysia?

 

Artikel dipetik dari portal Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.