‘Ultraman’ Curi Minyak Wangi

SEGAMAT – Sebuah pasar raya di Jalan Kekwa, di sini, rugi kira-kira RM2,000 apabila premis tersebut dipecah masuk seorang lelaki yang memakai topeng watak popular kanak-kanak, Ultraman, awal pagi kelmarin.

 

Penyelia keselamatan pasar raya, Wan Norizan Wan Idris, 44, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, kelibat suspek memecah masuk premis berjaya dirakam empat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan tersebut.

 

“Lelaki yang memakai topi itu memecah masuk ke dalam pasar raya dengan memanjat tiang bahagian belakang bangunan kerana terdapat kesan tapak tangan selain rakaman jelas oleh CCTV.

 

“Dia kemudian memakai topeng Ultraman bagi mengelak mukanya dirakam CCTV sebelum bertindak melarikan pelbagai botol minyak wangi, gel rambut, deodoran, wang syiling dan beberapa kad isian semula,” katanya.

 

Menurutnya, dalam rakaman CCTV berdurasi 15 minit itu, suspek dilihat terlebih dahulu mencuba minyak wangi yang terdapat di pasar raya tersebut, sebelum memasukkan kesemua barangan curi di dalam sebuah beg plastik.

 

Wan Norizan berkata, suspek kemudiannya menanggal dan meninggalkan topengnya berhampiran alat pendingin hawa.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek tidak mengambil barangan berharga lain seperti peralatan elektrik dan barangan dapur.

 

“Lelaki itu seperti sudah mahir dengan selok-belok pasar raya ini dengan melarikan diri menggunakan laluan sama sewaktu dia masuk. Ketika kejadian, terdapat seorang pengawal bertugas tetapi sedang melakukan rondaan di hadapan premis.

 

“Pengawal tersebut hanya menyedari kehadiran lelaki itu selepas melihat rakaman CCTV dan terus memaklumkan saya. Laporan polis telah dibuat dan ini kejadian pertama selepas pasar raya ini beroperasi beberapa tahun lalu,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti identiti suspek. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.