Tertuduh Lolos Daripada Tahanan Di Penjara

Kuala Lumpur – Akibat melarikan diri daripada tahanan polis untuk berjumpa anak berusia dua bulan, seorang tertuduh kes samun hari ini dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret.

 

Dahalan Abdul Ghani, 30, tunduk sambil menekup mukanya selepas Majistret Nurul Ain Abdul Rahim memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 7 Mac lepas.

 

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan melarikan diri daripada tahanan polis semasa dia dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan kesnya.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lorong laluan kenderaan di belakang lokap Kompleks Mahkamah Jalan Duta, jam 8.30 pagi, 23 Feb lepas.

 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

 

Apabila ditanya Nurul Ain bagaimana dia boleh melepaskan diri daripada tahanan polis, Dahalan memberitahu mahkamah selepas turun dari trak polis, dia terus menyorok di satu kawasan di dalam Kompleks Mahkamah.

 

Setelah yakin tiada orang di kawasan itu, dia terus melarikan diri dan pulang ke rumah untuk melawat anaknya.

 

Menurut fakta kes, Dahalan ditahan semula pada 7 Mac lepas di Jinjang, Sentul berhampiran rumahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.