Rokok Pelbagai Jenama Dirampas

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor merampas pelbagai jenis rokok membabitkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM69,993.79 dalam Ops Landai di Masai Holiday Plaza di sini, kelmarin.

 

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan pertama sekitar jam 2.30 petang membabitkan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Alza di hadapan bangunan Masai Holiday Plaza.

 

Menurutnya, anggotanya berjaya menemui 1,190 paket rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM10,980.84.

 

“Serbuan kedua dibuat lebih kurang jam 3.15 petang di sebuah premis di Masai Holiday Plaza menemui sebanyak 3,170 paket rokok pelbagai jenama dengan anggaran rampasan bernilai RM29,012.95 termasuk cukai.

 

“Seorang lelaki tempatan berumur 30-an ditahan bersama kenderaan tersebut pada serbuan pertama dan seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan untuk siasatan,” katanya.

 

Khon Chiang  berkata, kesemua rampasan yang bernilai keseluruhan RM69,993.79 dan tangkapan dibawa balik ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Tampoi untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Balai Polis Masai.

 

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan daripada kastam.

 

“Kami sentiasa komited dalam membasmi aktiviti penjualan rokok tidak sah dan operasi penyeludupan rokok akan diteruskan.

 

“Kami menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat tentang kegiatan dan aktiviti menyalahi undang-undang yang berlaku di persisiran pantai.

 

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor di talian 07-2372222 atau 07-2376122,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.