Real Madrid Aib Di Bernabeu Namun Mara, Porto Gah Benam Basel

MADRID – Penyandang juara Eropah, Real Madrid mengharungi detik cemas sebelum mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas berdepan kekalahan 4-3 di laman sendiri kepada Schalke 04, awal pagi tadi.

 

Sekalipun dimalukan di Santiago Bernabeu, Real begitupun mara menerusi keputusan agregat 5-4 yang dibantu kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama menentang kelab Jerman itu, bulan lepas.

 

Dua jaringan pada babak pertama oleh pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dan satu gol daripada Karim Benzema tujuh minit memasuki babak kedua membenarkan kemaraan Real.

 

Namun Schalke masih boleh mengangkat kepala mereka dan menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka pada kempen kali ini.

 

Penyerang pelawat, Klaas-Jan Huntelaar turut meledak dua gol termasuk jaringan lewat kemenangan, enam minit sebelum perlawanan tamat dan terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Christian Fuchs selain Leroy Sane.

 

Selepas mencatat kemenangan mudah 2-0 pada perlawanan pertama di Gelsenkirchen, bulan lepas, Schalke jelas memberi tentangan hebat buat Real di Bernabeu membuka tirai jaringan seawal minit ke-20 menerusi Fuchs apabila rembatannya ke gawang Real terbias yang menewaskan Iker Casillas.

 

Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil sepakan sudut Toni Kroos, lima minit kemudian sebelum bekas penyerang Real, Huntelaar kembali meletakkan pelawat di depan pada minit ke-40.

 

Penyerang Portugal, Ronaldo kembali menyamakan kedudukan buat Real dengan tidak mensia-siakan hantaran Fabio Coentrao sebelum babak pertama berakhir.

 

Jaringan itu adalah yang ke-75 buat kapten Portugal itu yang meletakkannya sebaris dengan pemegang rekod penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah, Lionel Messi.

 

Selain itu, gol itu turut menyaksikan Ronaldo kini memegang rekod penjaring gol terbanyak di kejohanan Eropah dengan 78 gol mengatasi rekod terdahulu dipegang bekas penyerang Real, Raul Gonzalez.

 

Kedua-dua pasukan terus menampilkan aksi menyerang bersambung babak kedua dan Real kemudian berjaya mendahului menerusi jaringan Benzema pada minit ke-53 namun pantas disamakan Schalke menerusi pemain gantian, Sane yang melepaskan rembatan silang cantik menewaskan Casillas pada minit ke-57.

 

Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, Huntelaar berjaya mencetus cemas penyokong Real dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-84 namun kemenangan tetap gagal meletakkan nama Schalke di undian peringkat suku akhir yang dijadualkan pada 20 Mac depan.

 

Dalam pada itu, wakil Portugal, Porto turut melangkah ke peringkat suku akhir hasil kemenangan besar 4-0 ke atas kelab Switzerland, Basel.

 

Porto mara dengan keputusan agregat 5-1 selepas kedua-duanya terikat 1-1 ketika perlawanan pertama di laman Basel.

 

Gol Porto dijaringkan Yacine Brahimi pada babak pertama perlawanan sebelum meledak tiga lagi jaringan pada separuh masa kedua menerusi Hector Herrera, Casemiro dan Vincent Aboubakar namun uniknya, keempat-empat gol dijaringkan di luar kotak penalti. – Reuters / Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.