POTA Usaha Kerajaan Tangani IS

PUTRAJAYA – Penggubalan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) merupakan usaha kerajaan untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan IS di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Katanya, semakin ramai rakyat Malaysia terpedaya dan salah faham dengan makna jihad sehingga sanggup menggadai nyawa dan harta demi menyertai kumpulan militan IS di Syria dan Iraq.

 

Beliau berkata, terdapat 61 rakyat Malaysia dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berada di Syria dan Iraq kononnya berjuang untuk kumpulan militan IS dan 10 daripadanya didapati telah terkorban.

 

Katanya, dua keluarga membawa keluarga dan anak serta menjual harta untuk menyertai kumpulan militan IS.

 

“Taksub ini amat dikhuatiri… Sehubungan itu, penggubalan Pota adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.

 

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyaran semua ahli parlimen dan rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menyokong Pota yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat bulan ini serta menggesa ahli parlimen tidak terlalu beremosi ketika membahaskannya.

 

“Ini bukan agenda politik. Ia bukan akta untuk menangkap ahli politik berbeza pendapat. Ia tidak menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebaliknya ia adalah demi kesejahteraan di negara ini,” katanya.

 

Beliau berkata, undang-undang sedia ada seperti hanya membolehkan tindakan diambil selepas kejadian itu berlaku namun Pota merupakan akta pencegahan di mana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati.’

 

Sementara itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada banduan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 69 daripada 178 banduan mendapat sekurang-kurangnya 1A dalam peperiksaan itu yang diumumkan pada 3 Mac lepas.

 

“Apa yang membanggakan saya ialah dua orang calon SPM mendapat 8A, tiga orang masing-masing mendapat 7A dan 6A, lima orang mendapat 5A dan 11 orang mendapat 4A. Penjara bukan tempat untuk menghukum sebaliknya ia adalah tempat untuk mendidik,” katanya.

 

Beliau juga mengumumkan bahawa Jabatan Penjara Malaysia berjaya meraih RM28.8 juta pada tahun lepas daripada jualan produk dihasilkan banduan di seluruh negara berbanding RM21.5 juta pada tahun 2013. – Bernama / Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.