‘Ibu Rindu Senyuman Di Wajah Aril’

IPOH – “Saya harapkan Aril kembali sihat seperti anak-anak lain dengan senyuman sentiasa terlakar di wajahnya, saya rindukan situasi itu.” Itu harapan diluahkan Nur Amirah Syazwani Pandi, 22, ibu kepada bayi berusia 10 bulan, Muhd Aril Zafran yang menghidap penyakit hati kronik, biliary atresia.

 

Menurutnya, dia tidak sabar untuk membawa anaknya itu ke sebuah hospital di Shanghai, China, untuk menjalani pembedahan sekali gus mengakhiri penderitaan Aril yang menahan sakit itu.

 

Katanya, dia bersyukur apabila proses pembedahan semakin mudah apabila suaminya, Jamilulehsan Mohd Taridi, 28, akan menderma sebahagian hatinya terhadap satu-satunya cahaya mata mereka itu.

 

“Hati mereka sesuai kerana masing-masing mempunyai jenis darah yang sama iaitu O selepas membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini.

 

“Ia bertambah mudah apabila wakil daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor bukan sahaja menaja tiket penerbangan malah, merealisasikan pembedahan itu di hospital sana termasuk mengurus segala dokumen perubatan Aril,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman mereka di Taman Desa Pelancongan di sini, semalam.

 

Nur Amirah berkata, dia berempat termasuk wakil DPMM terbabit akan berlepas ke Shanghai, China, esok dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines System (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Katanya, segala persiapan sudah disediakan dan hanya menunggu masa untuk ke negara itu selama tiga bulan.

 

“Berkat sokongan dan sumbangan daripada semua rakyat malaysia dan kerajaan negeri, Insya-ALLAH…segala kelengkapan pakaian, lampin pakai buang dan susu mencukupi selain perbelanjaan sepanjang tempoh rawatan di sana nanti.

 

“Tahap kesihatan Aril kini membimbangkan apabila perutnya kembali membusung selain mengalami kesukaran untuk bernafas. Saya mengharapkan pembedahan ini berjaya dan suami serta anak selamat tanpa ada sebarang komplikasi,” katanya.

 

Aril sebelum ini memerlukan RM250,000 untuk pembedahan pemindahan hati di India namun, dia mengambil keputusan untuk melaksanakan rawatan itu di China dengan kos RM160,000. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.