Ibu Bapa Bekas Puteri Thailand Dipenjara 30 Bulan

Bangkok – Ibu bapa bekas Puteri Thailand, Thanpuying Srirasmi Suwadee dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan setiap seorang.

 

Menurut laporan Bangkok Post, Apiruj Suwadee, 72, bersama isterinya yang berusia 66 tahun, Wanthanee pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap seorang.

 

Namun, hukuman itu dikurangkan separuh, selepas mereka mengaku bersalah menghina keluarga diraja, memfitnah dan meminta penjawat awam membuat laporan palsu terhadap seorang wanita pada 2003.

 

Sekurang-kurangnya lapan saudara terdekat Srirasmi telah dipenjarakan atas menghina monarki Thailand, termasuk kakak, abang ipar, dua adiknya, seorang anak saudara dan ibu bapa Srirasmi.

 

Seorang lagi saudaranya, Pongpat Chayapun, bekas Ketua Biro Penyiasatan Pusat Thailand dijatuhkan hukuman penjara 31 tahun, kerana disabitkan kesalahan berhubung perjudian haram, peras ugut dan penculikan.

 

Pertuduhan terhadap ibu bapa Srirasmi berpunca daripada aduan seorang bekas jiran mereka yang dipenjarakan selama 18 bulan, kerana melakukan penipuan yang sebenarnya tidak dilakukannya, tetapi diugut untuk mengaku berbuat demikian oleh pasangan Suwadee, pada 2003.

 

Pasangan warga emas itu dihadapkan ke mahkamah, selepas Sawita Maneechan, 32, seorang pekerja Yayasan Mae Fah Luang di bawah Naungan Diraja, membuat laporan polis terhadap pasangan berkenaan, pada Februari.

 

Menurut Sawita, Wanthanee pada 12 tahun lalu menuduh dia mengadakan hubungan sulit dengan Apiruj dan memujuk bapa saudaranya yang ketika itu adalah seorang anggota polis, mendakwa Sawita melakukan penipuan, kerana dia dikatakan meminjam wang daripadanya.

 

Meskipun dakwaan itu palsu, Sawita tetap mengaku melakukannya, kerana diugut pasangan berkenaan.

 

Mahkamah Ratchaburi pada 20 Disember 2003 menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Sawita.

 

Walaupun hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada 18 bulan, namun dia dan keluarganya terpaksa keluar dari Ratchaburi atas tekanan masyarakat.

 

Apiruj dan Wanthanee kemudiannya menyerah diri kepada polis dan mengaku bersalah serta menyesal atas tindakannya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.