Hampir 120,000 Unit Rumah PR1MA Dilulus

KUALA LUMPUR – Sebanyak 119,933 Projek Pembinaan Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) telah diluluskan pembinaannya di seluruh negara setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

 

Ini termasuk sebanyak 8,547 rumah PR1MA yang telah diluluskan untuk Sarawak, katanya menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) mengenai sama ada PR1MA akan dilaksanakan di Parlimen Sarikei.

 

“Bagaimanapun, setakat ini tiada rancangan pembangunan untuk PR1MA di Sarikei, tetapi kita sedia membuka kawasan untuk projek itu jika ada permohonan dan tanah baharu yang diberikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

 

Rumah PR1MA bertujuan membantu rakyat berpendapatan sederhana mendapatkan rumah dan pembeli yang layak ialah mereka yang mempunyai pendapatan RM2,500 sehingga 10,000 sebulan, mengikut umur dan jumlah tanggungan.

 

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir berkata, Indeks Syariah Malaysia merupakan usaha bertahap perintis dan ke hadapan oleh kerajaan bagi memperkukuhkan komitmen memajukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

 

Jamil Khir berkata itu akan diukur mengenai kesungguhan kerajaan menambah baik syariat Islam oleh Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia, yang dianggotai para tokoh dan pakar Islam dalam pelbagai aspek.

 

Katanya, ketika ini lima teras dalam Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang akan diukur sememangnya banyak telah diguna pakai dan memberi manfaat dalam kehidupan masyarakat walaupun tidak dilabel sebagai produk Islam.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mengenai bagaimana Indeks Syariah Malaysia dapat membantu dalam mengenal pasti ruang pembaikan dan rakyat dapat menerima manfaat itu di Dewan Rakyat, hari ini. – BERNAMA / BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.