14 Individu Direman Tujuh Hari Bantu Siasatan Rasuah

IPOH – Seramai 14 individu terma­suk lima pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kontrak dan pembelian barang.

 

Perintah reman terhadap ke­semua suspek termasuk dua wanita itu dikeluarkan oleh Majistret Rahimah Rahim mulai hari ini.

 

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah de­ngan menaiki sebuah bas SPRM kira-kira pukul 11 pagi.

 

Sebaik sahaja menyedari kehadiran petugas media, kesemua mereka bertindak menutup muka bagi mengelakkan wajah dirakam jurugambar dan jurukamera.

 

Kesemua individu terbabit kemudiannya beredar menaiki bas sama kira-kira sejam kemudian.

 

Lima penjawat awam termasuk seorang wanita itu direman mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima rasuah.

 

Sembilan orang awam pula direman mengikut Seksyen 17 (b) akta sama kerana memberi suapan.

 

Sementara itu, sumber memberitahu, kesemua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas menerima aduan mengenai gaya hidup mewah selain isu membabitkan kontrak dan pembelian barang tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.