10 April Sebutan Semula Kes Dadah Zamani

Mahkamah Majistret Ampang menetapkan 10 April depan bagi sebutan semula kes memiliki dan mengambil dadah melibatkan bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani dan pembantu peribadinya.

 

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan kimia dan penyerahan dokumen kes berkenaan.

 

Dalam pada itu, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Zamani, memaklumkan penyanyi itu masih dalam proses pemulihan dan mempunyai lima bulan lagi untuk berada di pusat pemulihan sebelum bersedia bertemu masyarakat.

 

“Alhamdulillah, kesihatan Zamani menunjukkan perkembangan positif dan berat badannya juga telah naik daripada 45 kilogram kepada 54 kilogran dalam masa lebih sebulan di pusat pemulihan itu,” katanya.

 

Zamani dan Nur Juliana Abdul Rani, 32, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama memiliki 1.2 gram heroin di satu alamat di Taman Keramat pada kira-kira 12.30 pagi, 21 Januari lepas.

 

Zamani juga didakwa telah mengambil dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, kira-kira 2 pagi pada tarikh sama. Manakala, Nur Juliana pula didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine pada kira-kira 2.05 pagi di tempat dan tarikh sama.

 

Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. – MediaHiburan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.