Inkues: Perusuh Baling Objek, Larang Pasukan Bomba Padam Api

SHAH ALAM – Inkues bagi menentukan status kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim hari ini diberitahu, pasukan bomba diarahkan balik dan dilarang daripada memadam kebakaran sebuah kereta dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Laungan dan jeritan itu dibuat oleh sekumpulan lelaki sebelum salah seorang daripadanya bertindak melemparkan objek keras dipercayai besi tiang takraw ke arah cermin jentera FRT.

Pemandu jentera tersebut, Md. Elliza Mohd. Noor daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang merupakan saksi kedua berkata, dia bersama pasukannya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran kereta di hadapan kuil pada pukul 1.02 pagi.

“Setibanya di lokasi pada pukul 1.12 pagi, saya memberhentikan kenderaan pada jarak 10 hingga 15 meter untuk membuat pemadaman. Tugas saya adalah sebagai pemandu jentera dan operator pam, tetapi pada masa itu saya tidak membuat tugasan pam kerana ada pergerakan sekumpulan orang awam menghampiri jentera FRT.

“Mereka datang menjerit menyuruh kami jangan memadamkan kebakaran sambil memberi isyarat tangan menghalau. Namun, secara tiba -tiba tidak sampai lima hingga 10 saat, terdapat ketukan pertama di cermin hadapan menggunakan besi tiang takraw dan diikuti balingan objek seperti batu-bata dan topi keledar.

“Malah, saya juga ternampak dua atau tiga orang awam berlari di sebelah kiri jentera saya ke arah belakang dan saya tak tahu apa tujuannya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya selaku Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah dalam Mahkamah Koroner di sini hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.