Trump Berang

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berang dengan keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan negara ini yang menolak hasratnya melaksanakan sekatan perjalanan sementara kepada pelarian dan pendatang Islam ke negara ini, semalam.

 

Ini ekoran keputusan tiga panel hakim mahkamah itu yang sebulat suara memutuskan pentadbiran Trump gagal mengemukakan sebarang bukti tentang kebimbangan keselamatan negara yang mewajarkan larangan itu daripada dikuatkuasakan semula serta-merta.

 

“Jumpa anda di mahkamah, keselamatan negara ini dalam bahaya,” tulis Trump di akaun Twitternya.
Trump malah menyifatkan keputusan hakim itu lebih bermotifkan politik dan mendakwa beliau sepatutnya memenangi kes tersebut.

 

Keputusan penghakiman kes setebal 29 muka surat itu mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Daerah, James Robart yang menggantung sementara perintah eksekutif Trump.

 

Menurut panel hakim, kerajaan gagal menunjukkan setiap individu daripada tujuh negara itu melakukan serangan keganasan di AS dan pentadbiran Trump perlu mengemukakan lebih ba­nyak hujah bagi membolehkan pelaksanaan sekatan berkenaan.

 

Perintah Trump pada 27 Ja­nuari lalu mengakibatkan bantahan dan kekecohan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa sebelum dicabar Washington dan Minnesota yang menyifatkan arahan berkenaan melanggar Perlembagaan AS.

 

Peguam Negara Washington, Bob Ferguson ketika diminta mengulas tweet Trump berkata, setakat ini pihaknya memenangi semua dua kes berkaitan sekatan kontroversi yang dikemukakan Presiden tersebut.

 

Dalam perkembangan berasi­ngan, pembinaan tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico dijangka memerlukan kos seba­nyak AS$21.6 bilion (RM96 bilion) dan masa tiga tahun untuk disi­ap­-
kan.

 

Berdasarkan laporan dalaman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, kos itu jauh lebih tinggi daripada anggaran Trump yang mendakwa struktur berkenaan hanya menelan kos AS$12 bilion (RM53.33 bilion).

 

Laporan itu akan diserahkan kepada Setiausaha Jabatan Kese­lamatan Dalam Negeri, John Kelly dalam masa terdekat.

 
Tembok itu yang melibatkan tiga fasa pembinaan meliputi kawasan sejauh 2,000 kilometer dan dijangka siap pada 2020. – REUTERS/Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.