Ratusan Kereta Pejabat Presiden Hilang

ACCRA  – Kerajaan baharu Ghana yang memenangi pilihan raya pada Disember tahun lalu kini sedang menjejaki lebih 200 buah kereta milik kerajaan yang hilang dari Pejabat Pre­siden.

 

Selepas peralihan kuasa pentadbiran, kereta-kereta milik kerajaan telah dirampas daripada para pegawai yang tidak memulangkan kenderaan itu.

 

Namun seorang bekas anggota Kabinet, Omane Boamah berkata, tuduhan salah laku yang dilemparkan oleh kerajaan baharu terhadap rakan-rakan­nya adalah palsu.

 
Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Menteri Komunikasi memberitahu BBC bahawa tindakan tersebut sengaja dilakukan sebagai helah untuk kerajaan membeli kereta baharu.

 

Dalam pada itu, jurucakap Presiden, Eugen Arhin berkata, pihaknya hanya dapat mengesan sebanyak 74 daripada 196 buah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser milik Pejabat Presiden.

 

Selain itu hanya 20 buah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser Prados daripada sejumlah 73 buah; 11 buah kereta jenis Mercedes (daripada 24 buah); dua buah To­yota Avalons (daripada 28 buah) dan dua buah kereta jenis BMW daripada sejumlah enam buah kereta sama te­lah dipulangkan.

 

Stesen radio Ghana, Citi FM melaporkan, akibat keadaan tersebut, Presiden Ghana yang baharu, Nana Akufo-Addo terpaksa menggunakan kereta jenis BMW berusia 10 tahun.

 

Arhin turut mendedahkan, Pejabat Presiden perlu mempunyai lebih 300 kenderaan namun beliau tidak memberi alasan tentang keperluan kenderaan itu.

 

Akufo-Addo daripada Parti Patriotik Baharu memenangi pilihan raya Presiden Ghana pada awal Disember tahun lalu menggantikan John Mahama daripada Kongres Demokratik Kebangsaan.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.