Lelaki Ditahan Di Kelantan Sebahagian Rangkaian ‘Raja Dadah ASEAN’ – Polis Thai

BANGKOK – Siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati seorang lelaki yang ditahan polis Malaysia di Kelantan Isnin lepas, adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludupan dadah serantau diketuai warga Laos, yang digelar ‘Raja Dadah ASEAN’.

 

Lelaki warga Laos berusia 41 tahun itu kini dalam tahanan polis Thailand.

 

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Thailand, Jen Chalermkiat Sriwirikhan rakyat Malaysia itu yang memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand, bekerja dengan warga Laos tersebut dan seorang lagi, raja dadah selatan Thai yang kini melarikan diri.

 

“Rakyat Malaysia yang ditahan di Kelantan dan lelaki yang melarikan diri itu adalah sebahagian daripada rangkaian diketuai ‘Raja Dadah ASEAN’…kami boleh katakan mereka bekerja bersama-sama dan mempunyai hubungan antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media di Lembaga Kawalan Narkotik di sini pada Jumaat.

 

Chalermkiat berkata pada Khamis di Songkla, pihak berkuasa merampas 41 juta Baht (RM5.2 juta) dan RM1.6 juta wang tunai, barangan kemas dan aset lain milik rangkaian pengedaran dadah warga Laos itu.

 

Seorang wanita yang ditahan dalam serbuan itu, mendedahkan kepada polis ketika disoal siasat, wang dan aset yang dirampas itu adalah hasil jualan dadah oleh suaminya iaitu sebahagian daripada operasi sindiket lelaki Laos itu.

 

Chalermkiat berkata suami wanita itu kini sedang menjalani hukuman penjara di Kelantan selepas ditangkap memiliki 70,000 pil psikotropik (pil kuda) tiga tahun lepas.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung Lembaga Kawalan Narkotik, Sirinya Sitdhichai yang turut hadir pada sidang media itu berkata pihak berkuasa Malaysia menyalurkan maklumat yang membawa kepada rampasan wang tunai dan aset itu pada Khamis.

 

Menurutnya semasa disoal siasat, wanita itu yang merupakan warga Thailand berkata semua wang tunai dan aset yang dirampas pada Khamis, diperoleh hasil pengedaran dadah merentasi sempadan.

 

“Wanita itu mengaku (semasa disoal siasat) bahawa suaminya mengarahkan dia memindahkan wang dan aset lain dari rumah mereka di Golok ke Narathiwat di Hatyai,” katanya.

 

Selepas penahanannya pada Khamis, wanita itu dan seorang lelaki Thailand yang merupakan rakan sejenayah beliau dibawa ke Bangkok bagi membantu siasatan berhubung rangkaian penyeludupan dadah ‘Raja Dadah ASEAN’.

 

Mengenai lokasi seorang lagi raja dadah yang melarikan diri itu, Sirinya berkata dia kini bersembunyi di Laos dan menambah orang ramai yang menyalurkan maklumat hingga membawa kepada penahanan lelaki itu akan ditawarkan dua juta Baht (RM256,000).

 

Sementara itu, Ketua Biro Kawalan Narkotik Thailand Lt Jen Sommai Kongvisaisuk berkata pihak berkuasa bakal mengumumkan lebih banyak ‘berita baik’ minggu depan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.