Anggota RAMD Cedera Ditikam Bekas Tentera

KUALA NERUS – Seorang anggota pengawal Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seberang Takir di sini, cedera akibat ditikam di belakang leher oleh seorang lelaki yang juga bekas tentera, petang semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, suspek berusia 41 tahun yang menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan pintu utama kem itu, sebelum mendekati anggota berkenaan yang sedang bertugas.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, berkata suspek yang memakai topi keledar dan kain penutup muka dikatakan memaklumkan kepada mangsa mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah di situ.

 

Beliau berkata, suspek kemudian tiba-tiba bertindak menerkam mangsa dan bertindak agresif mengacu pisau ke leher anggota berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan sehingga mangsa cedera di belakang leher terkena tikaman senjata berkenaan.

 

Katanya, suspek turut cuba menarik senjata anggota pengawal berkenaan, namun seorang anggota lain yang menyedari kejadian kemudian bertindak meleraikan pergelutan dan mendapatkan bantuan.

 

“Suspek yang berasal dari Kampung Pak Kancil, Permaisuri, Setiu, kemudian ditahan oleh anggota berkenaan yang juga rakan setugas mangsa.

 

“Siasatan awal mendapati suspek adalah bekas tentera dan dikenakan tindakan buang kerja pada 2007 kerana masalah mental.

 

“Mangsa berusia 29 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak, kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan,” katanya.

 

Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
 – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.