Video : Tidak Kafir Masuk Amanah Keluar Pas – Khalid Samad

KUALA LUMPUR – “Tidak jadi kafir masuk Amanah, keluar Pas. Tidak jadi munafik keluar Pas, masuk Amanah. Kalau ada orang Amanah nak balik kepada Pas, silakan. Buat apa yang kamu yakin adalah yang terbaik,” kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad pada sidang media di pejabat Amanah, hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya mengambil sikap terbuka mengenai ahli parti itu yang mahu kembali kepada Pas.

 

Menurutnya, parti itu tiada masalah sekiranya benar ada ahli parti itu yang mahu berbuat demikian kerana ini merupakan negara demokrasi.

 

“Kalau ada orang Pas nak masuk Amanah pun, kita harap pihak Pas juga akan mengambil sikap terbuka dan menerima. Ia adalah untuk kebaikan negara dan umat Islam,”katanya.

 

“Kita hormat pilihan masing-masing dan kita harap Pas pun akan mempunyai sikap yang sebegitu rupa. Biar ahli yang pilih sendiri berdasarkan keyakinan masing-masing. Tidak perlu tuduhan-tuduhan khianat, langgar baiah…Biar orang pilih atas keyakinan masing-masing,” katanya.

 

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa ramai ahli Amanah dijangka menyertai semula Pas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mencadangkan lantikan semula Lembaga Pengarah Tabung Haji mengikut kemampuan mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau berkata, pihaknya juga menggesa Tabung Haji (TH) supaya tidak boleh terus mengambil keuntungan pelaburan lama untuk keperluan semasa.

 

Katanya, tindakan itu perlu untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan pendeposit.-SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.