Selesai Tunggakan Gaji Bekas Pemain Selepas Terima Wang Tajaan – KAFA

KOTA BHARU — Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menjelaskan tunggakan gaji lima bekas pemainnya selepas mendapat wang tajaan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Ismail Mohd Noor.

 

Ismail berkata KAFA juga telah mempunyai jadual pembayaran bagi melunaskan hutang terhadap pemain berkenaan dan ia akan diselesaikan secepat mungkin.

 

“Kita akan bayar… kita mempunyai jadual pembayaran untuk pemain itu dan akan bayar secepat mungkin apabila kita mendapat duit daripada penaja.

 

“(Bagaimanapun) bayaran itu bergantung kepada bajet, berapa yang kita dapat daripada penaja… yang penting kita akan lunaskan tunggakan gaji pemain berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA  dengan menyertai pasukan lain musim ini.

 

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini dilaporkan meminta tiga pasukan Liga Malaysia  menjelaskan tunggakan gaji pemain berjumlah kira-kira RM4.32 juta bagi musim lalu, sebelum musim 2016 membuka tirai minggu  ini.

 

Ketua Pengawai Eksekutifnya Izham Ismail dipetik sebagai berkata pasukan yang terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia yang perlu melunaskan hutang berjumlah RM3.7 juta, Kelantan (RM400,000) dan Felda United FC (RM220,000). — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.