Saya perhatikan anda!

JOHOR BAHRU – Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menggesa persatuan-persatuan yang terlibat dengan isu tunggakan gaji pemain agar segera menyelesaikan masalah tersebut sambil menegaskan, pemain adalah manusia dan bukan ‘ternakan’.

 

Malah, pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mengakui, beliau tidak menyokong penubuhan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang dianggap boneka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selain mengingatkan beberapa pegawai kanan badan bola sepak kebangsaan itu bahawa mereka sentiasa berada dalam pemerhatiannya.

 

“Saya menggesa pasukan yang terlibat dalam isu tidak membayar gaji pemain menyelesaikan isu ini. Untuk semua.. mereka semua manusia, bukan ternakan.

 

“Untuk Tan Sri Anuar Musa (Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)), saya percaya anda seorang ahli politik yang berpengalaman dan sudah tentu anda tahu apa perkara yang betul untuk dilakukan.

 

“Untuk Datuk Seri Afandi (Hamzah, Timbalan Presiden FAM), Datuk Mokhtar (Ahmad, Timbalan Presiden FAM), Datuk Rozabil (Abdul Rahman, Naib Presiden FAM), Datuk Hamidin (Mohd. Amin, Setiausaha) dan semua Exco FAM. Ambil perhatian kepada apa yang saya katakan. Saya memerhatikan anda.

 

“Hidup supaya apabila anak-anak anda fikirkan tentang keadilan, kasih sayang dan integriti, mereka memikirkan anda,” kata Tunku Ismail dalam Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

 

Tunku Ismail, yang juga penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) turut berkata, bola sepak negara semakin mundur bukan hanya disebabkan rasuah tetapi kerana mentaliti semua pihak dalam industri itu yang lebih tertumpu kepada perkara-perkara kecil daripada gambaran lebih besar untuk bergerak ke depan.

 

“Ini adalah mengapa saya tidak menyokong FMLLP kerana saya tahu bahawa mereka hanya boneka kepada FAM,” katanya.

 

Sementara itu, Tunku Ismail mencabar mana-mana individu, organisasi atau penyokong untuk berdebat dengannya secara langsung di televisyen berhubung sebarang isu bola sepak negara.

 

“Kepada individu yang tidak puas hati dengan apa sahaja kenyataan saya mengenai bola sepak, saya cabar anda agar berdepan dengan saya dan berdebat secara terbuka menerusi siaran televisyen.

 

“Begitu juga mana-mana penyokong, organisasi atau individu berkaitan bola sepak kita berdebat mengenai polisi, projek, rasuah dan apa sahaja isu mengenai bola sepak,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.