Obama, Najib Akan Berucap Pada Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN

LOS ANGELES –  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberi penghormatan untuk berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN di Sunnylands, California Isnin ini (Selasa di Malaysia).

 

Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pada Rabu (Khamis di Malaysia) bahawa Kuala Lumpur diberi penghormatan itu sejajar dengan peranannya sebagai negara penyelaras hubungan AS-ASEAN bagi penggal 2015-2018.

 

Presiden AS Barack Obama juga dijadual menyampaikan ucapan pembukaan, di samping Perdana Menteri Thongsing Thammavong dari Laos, negara yang kini menjadi pengerusi ASEAN.

 

“Malaysia mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan sebagai negara penyelaras bagi hubungan AS-ASEAN,” kata Awang Adek kepada wartawan Malaysia di sebuah hotel di sini.

 

Beliau berkata ini merupakan julung kalinya Sidang Kemuncak AS-ASEAN diadakan di luar negara anggota ASEAN, sekali gus mencerminkan kepentingan hubungan AS-ASEAN, yang dinaik taraf kepada perkongsian strategik tahun lepas.

 

Awang Adek berkata jumlah dagangan AS-ASEAN mencapai AS$212.4 bilion (kira-kira RM892 bilion) pada 2014, yang meningkat 2.7 peratus berbanding pada 2013 manakala pelaburan AS pula berjumlah AS$13 bilion (kira-kira RM54.6 bilion) pada 2014.

 

Ketika menjelaskan kepentingan hubungan antara kedua-dua pihak dalam bidang ekonomi, beliau berkata AS merupakan rakan perdagangan keempat terbesar bagi ASEAN dan pelabur asing terbesar bagi pertubuhan 10 negara Asia Tenggara itu.

 

Hakikat bahawa sidang kemuncak dua hari itu diadakkan di Sunnylands, yang juga disebut sebagai ‘Camp David of the West’, menunjukkan bahawa Washington amat mementingkan hubungannya dengan ASEAN, katanya.

 

Untuk rekod, Obama menggunakan venue yang sama untuk mengadakan perjumpaan dengan Presiden China Xi Jinping pada 2013.

 

Awang Adek berkata beliau percaya Washington akan meneruskan dasar sedia ada terhadap ASEAN selepas berakhirnya penggal Pentadbiran Obama akhir tahun ini kerana AS mempunyai kepentingan strategik di rantau berkenaan dari segi kemakmuran ekonomi, keamanan, keselamatan dan kestabilan.

 

Awang Adek berkata pada sidang kemuncak itu, Obama dan 10 pemimpin ASEAN akan membincangkan langkah yang boleh diambil AS untuk memudahkan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN melalui inovasi dan keusahawanan.

 

Katanya, mereka juga akan menyentuh tentang isu keganasan, jenayah rentas sempadan serta keamanan dan keselamatan di rantau Asia Pasifik.

 

Najib juga dijangka mengetengahkan isu berkaitan keusahawanan belia, wanita dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada perbincangan yang akan diadakan.

 

Satu dokumen, yang mencerminkan prinsip para pemimpin berkenaan untuk meneruskan perkongsian strategik mereka, dijangka dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak ini.

 

Najib akan disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ke sidang kemuncak ini.

 

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Dalam lawatan kerja beliau selama seminggu ke AS mulai Khamis, Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan diaspora dan pelajar Malaysia di bandar raya ini, sebelum ke Sunnylands untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut.

 

Awang Adek berkata, selepas menghadiri sidang kemuncak itu, Najib akan ke San Francisco untuk mengadakan perjumpaan dengan pengurus dana dan kapten industri serta melawat dua syarikat teknologi gergasi dunia – Apple Inc dan Tesla Motors bagi menarik lebih banyak pelaburan serta teknologi terkini ke Malaysia.

 

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijadual melawat Hospital Kanak-kanak Los Angeles di sini pada Isnin (Selasa di Malaysia) dan Academic Talent of the University of California, Berkeley di San Francisco pada Rabu (Khamis di Malaysia). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.