Muda-Mudi Iran Guna Aplikasi Telefon Pintar Elak Penguasa Agama

TEHRAN — Aplikasi telefon pintar “crowdsourcing” yang menggunakan sumbangan maklumat daripada pengguna bukan sesuatu yang baru.

 

Anda mungkin pernah menggunakan aplikasi Waze, di mana pengguna menandakan lokasi kemalangan dan kesesakan trafik untuk membantu pengguna jalan lain.

 

Menggunakan konsep yang sama, para belia di Iran kini menggunakan aplikasi untuk membantu orang ramai daripada ditahan oleh polis moral dari Kementerian Budaya dan Panduan Islam, juga dipanggil “Ershad”.

 

Aplikasi tersebut, yang dipanggil “Gershad”, menunjukkan lokasi di mana pegawai Ershad sedang menjalankan operasi, berdasarkan maklumat yang diberi oleh penggunanya.

 

“Mengapa kami perlu dimalukan untuk sesuatu yang merupakan hak kami, hak untuk memakai apa kami mahu?” soal pembikin aplikasi itu di laman muat turun Google Play Store, seperti dilaporkan BBC.

 

“Media sosial dan laman web penuh dengan sorotan dan gambar wanita tak bersalah yang telah dipukul dan diseret oleh ejen rondaan Ershad.”

 

Menurut mereka, pada tahun 2014 sahaja, lebih 3 juta penduduk telah menerima amaran rasmi, 18,000 penduduk didakwa, dan lebih 200,000 dipaksa menulis janji rasmi untuk bertaubat.

 

Manakala portal berita Haaretz pula melaporkan lebih 40,000 kereta telah dirampas, semata-mata kerana pemandu wanitanya enggan memakai tudung.

 

Kuasa Ershad sangat luas — mereka boleh menahan wanita cuma kerana memakai solekan “berlebihan”, atau memakai hijab “berkurangan”, atau mendandan rambut “bergaya Barat”.

 

Apa-apa sahaja kelakuan boleh dianggap tidak bermoral dan melanggar hukum syarak mengikut pertimbangan peribadi ejen Gershad, termasuklah berjalan bersama rakan bukan muhrim.

 

Maka tidak hairanlah jika ramai yang menganggap aplikasi ini menyelamatkan nyawa mereka, dan sehingga kini hampir kesemua ulasan di Google Play Store menganugerahkannya lima bintang.

 

Namun begitu, sejak aplikasi tersebut viral, akses untuk memuat turunnya dilaporkan telah mula dihalang oleh kerajaan Iran. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.