Mangsa Banjir Perlu Daftar Di Pusat Pemindahan – Shahidan

KUCHING – Mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan perlu memastikan mereka mendaftarkan diri supaya bantuan, termasuk wang ihsan dapat disalurkan dengan sewajarnya.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata langkah itu dapat mengelak sebarang masalah dalam pengagihan bantuan kepada mangsa.

 

“Insya-Allah sumbangan wang ihsan kita akan beri kemudian cuma saya nak pesan di sini, supaya mereka yang berpindah mendaftar sebab kita tidak boleh berdasarkan cuma dengan cakap… kena tulis dalam buku pendaftaran.

 

“Jadi sekiranya mereka duduk dalam kawasan banjir berpindah ke tempat lain mereka kena daftar,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Matu Baru, di sini, pagi ini.

 

Shahidan yang tiba di Kuching pada 12.25 tengah malam tadi melawat pusat pemindahan berkenaan, yang menempatkan sejumlah 499 orang mangsa daripada keluarga 125 keluarga.

 

Shahidan berkata, beliau berpuas hati dengan pasukan menyelamat yang bertindak pantas sepanjang kejadian banjir di Kuching, Bau dan Serian, ketika ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.