Emosi Terganggu Punca Ikan Paus Mati

BATU PAHAT – GANGGUAN emosi dipercayai menjadi punca paus jenis Sei sepanjang 12 meter dan seberat 15 tan mati di muara Sungai Sarang Buaya, Semerah di sini kelmarin.

 

Paus berkenaan dipercayai berenang bersama kumpulannya sebelum terpisah serta menyebabkan gangguan emosi dan apabila terdampar buat pertama kali di Pontian, organnya juga sudah rosak.

 

Paus dengan nama saintifik Balaenoptera Borealis itu juga disahkan mamalia sama ditemukan terdampar di Pantai Rambah, Pontian kelmarin dan bangkainya berjaya didaratkan di Jeti Pejabat Perikanan Batu Pahat di sini pada 3 petang dengan menggunakan sebuah kren.

 

Bangkai mamalia itu berjaya didaratkan selepas mengharungi perjalanan sejauh 15 batu nautika selama tiga jam dan ditarik menggunakan sebuah bot nelayan kelas A.

 

Sebelum ditemukan mati di sini, paus itu berenang sejauh 90 batu nautika dari Pontian.

 

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, paus berkenaan dipercayai masih hidup semasa ditemukan nelayan pada pukul 4 petang dan dipercayai mati antara 6 hingga 7 petang kelmarin.

 

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, paus jantan dewasa itu merupakan spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) dan merupakan spesies paus ketiga terbesar di dunia.

 

Siasatan awal juga, katanya, mendapati paus itu terpisah daripada kumpulannya semasa mencari makanan dalam proses penghijrahan melalui perairan negara ini hingga menyebabkan gangguan emosi.

 

“Semasa mula-mula terdampar di Pontian, mamalia ini diselamatkan nelayan dan kita ingatkan berjaya setelah melepaskannya ke laut. Kita percaya ia mati disebabkan gangguan emosi.

 

“Perairan Malaysia merupakan antara laluan utama spesies ini yang berenang mengikut musim dan mamalia ini cuma makan organisme kecil, plankton, anak ikan dan anak udang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Pejabat Perikanan Batu Pahat di sini semalam.

 

Dalam tempoh 10 tahun ini katanya, sejumlah empat ekor paus dari spesies sama ditemukan terdampar di perairan negara ini iaitu di Pulau Carey dan Banting, Selangor dan Pulau Nenasi, Pahang.

 

Dalam pada itu, Mohd. Tamimi berkata, pihaknya akan menjalankan bedah siasat yang dijangka mengambil masa seminggu sebelum paus itu dilupuskan dan tulangnya akan dipamerkan di FRI Rantau Abang, Dungun, Terengganu.

 

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Maritim Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim, Muhammad Zulkifli Abdullah berkata, paus berkenaan ditemukan masih hidup oleh nelayan pada 4 petang semalam selepas tersangkut dalam mendapan lumpur kira-kira dua jam.

 

“Paus itu adalah mamalia sama ditemukan di Pantai Rambah, Pontian berda­sarkan tali yang diikat pada ekor­nya merupakan tali sama digunakan semasa usaha menye­lamatkan paus itu dilakukan,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.