Wan Azizah Bakal Bertanding Semula Di Permatang Pauh?

Kuala Lumpur – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah  dijangka akan bertanding semula di kerusi parlimen Permatang Pauh bagi mengantikan suaminya.

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal hilang kelayakan menjadi wakil rakyat sekiranya gagal dalam petisyen memohon pengampunan dari Yang Di Pertuan Agong.

 

Menurut sumber PKR walaupun ada spekulasi yang mahu anak kedua Anwar, Nurul Nuha bertanding di kawasan tersebut namun rata-rata pimpinan parti mahukan Wan Azizah bagi memastikan jawatan Ketua Pembangkang kekal disandang wakil dari PKR.

 

“Majoriti ahli parti mahukan Wan Azizah yang bertanding di Permatang Pauh sekaligus mengisi kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

 

“Sekiranya Kak Wan tidak bertanding, kami takut jawatan tersebut diberikan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang” ujarnya ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.

 

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya berkata, paling menakutkan sekiranya jawatan tersebut diberikan kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

 

Tambahan pula Wan Azizah mempunyai pengalaman sebagai ketua pembangkang di Parlimen, apabila beliau dipilih menduduki kerusi itu pada 1999 ketika kali pertama suaminya dipenjarakan.

 

“Sekiranya Azmin diberikan mandat untuk mengisi jawatan tersebut, kami risau PKR bakal berdepan dengan kehancuran.

 

“Saya dimaklumkan Azmin telah menolak untuk mengisi jawatan tersebut semalam, namun dalam politik macam-macam kemungkinan boleh berlaku” ujarnya lagi.

 

Timbalan Presiden PKR itu ketika ditanya pemberita semalam menegaskan, menolak untuk dicalonkan sebagai Ketua Pembangkang kerana merasakan Pakatan Rakyat (PR) mempunyai banyak lagi pemimpin yang berwibawa untuk mengisi jawatan tersebut di Parlimen.

 

“Tidak, tidak, tidak. Kita punya puluhan pemimpin yang layak untuk pegang jawatan itu.

 

“Yang penting ia dipersetujui semua pihak secara konsensus,” katanya selepas hadir mesyuarat Biro Politik PKR, di ibu pejabat PKR, malam tadi.

 

Sementara itu Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi SuaraTV berkata sekiranya mengikut undang-undang Wan Azizah layak untuk bertanding.

 

Menurut Wan Ahmad menurut undang-undang sedia ada, seseorang ahli parlimen hanya akan hilang kelayakan menjadi ahli dewan selama lima tahun, bermula tarikh peletakan jawatannya.

 

“Kalau ikut peruntukkan undang-undang, Wan Azizah layak untuk bertanding sekiranya diberikan mandat oleh ahli partinya.

 

“Apa pun terserah pada mereka untuk memutuskan, kerana saya hanya memberikan pandangan dari sudut undang-undang” uajrnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurut Wan Ahmad lagi mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

 

“Dalam kes Anwar ini, beliau dihukum penjara selama lima tahun dan selepas keluar penjara nanti, beliau terpaksa menunggu lagi lima tahun bagi bertanding semula sebagai wakil rakyat.

 

“Anwar terpaksa menunggu lagi 10 tahun bagi menempatkan dirinya semula dalam Parlimen Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

 

Pada 31 Julai 2008, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil untuk kerusi tersebut.

 

Manakala dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU-13) yang lalu Anwar memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 11, 721.

 

Beliau mendapat 37,090 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mazlan Bin Ismail yang mendapat 25,369 undi dan calon bebas Abdullah Zawawi Bin Samsudin yang mendapat 201 undi.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.