Tiada Keperluan Tukar Presiden Pas

KUALA TERENGGANU – Tiada keperluan untuk menukar Presiden Pas sedia ada, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada yang baharu.

 

Penolong Setiausaha Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Zaidan Abdullah tidak menolak isu yang didakwa komplot menjatuhkan Abdul Hadi itu timbul berkemungkinan beberapa pihak tidak sabar dalam perjuangan dan tidak menghayati perjuangan Pas selaku sebuah gerakan Islam.

 

“Selalu disebut Tok Guru (Abdul Hadi), dalam jemaah ikut nakhoda yang ada. Tak dinafi kadang-kadang ada yang tak sabar dalam perjuangan. Sedangkan Pas bukan parti politik semata-mata, bahkan merupakan sebuah jemaah dan gerakan dakwah.

 

“Golongan tidak sabar ini mungkin matlamat mereka hanya kekuasaan memerintah sahaja sehingga sanggup lakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat mereka. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian mengenai Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim mendedahkan komplot jahat yang didakwa dilakukan untuk menguasai Pas pusat serta menjatuhkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Beliau juga menamakan beberapa pemimpin tertinggi Pas pusat didakwa mendalangi komplot jahat itu melalui kerja-kerja khianat dan di luar batasan Islam.

 

Mengulas lanjut, Muhammad Zaidan yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Setiu menegaskan, pihaknya komited memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Abdul Hadi selaku presiden parti ketika ini.

 

Beliau turut memuji Abdul Hadi dengan menyifatkan pemimpin Pas itu seorang yang berpandangan jauh serta melihat masa depan dari pelbagai sudut.

 

Bagaimanapun, isu terbaharu itu menimbulkan kekecewaan kepada pihaknya jika ia benar-benar wujud sebagaimana dakwaan Pemuda Pas Kuantan.

 

Muhammad Zaidan turut meminta kepimpinan Pas tidak mengambil ringan perkara itu, sebaliknya berharap Jawatankuasa Disiplin Pas mengambil tindakan dengan menyiasat dakwaan secara terperinci.

 

“Kita meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti menyiasat dakwaan tersebut,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.