PKR Akan Fail Usul Parlimen, Untuk Kritik Hakim Mahkamah Persekutuan

Petaling Jaya – PKR akan memfailkan usul di Parlimen untuk mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes liwat II yang bertindak memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kata isterinya.

 

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR turut menjemput orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti (vigil) di luar penjara Sungai Buloh setiap malam, mulai esok selepas waktu Isyak.

 

Katanya, PKR juga akan mengatur solat hajat pada setiap hari Khamis malam Jumaat bagi seluruh cabang parti itu.

 

“PKR akan memfailkan usul di Parlimen untuk mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes liwat II yang bertindak memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti (vigil) di luar penjara Sg Buloh setiap hari bermula malam esok selepas waktu Isyak.

 

“Serta akan mengatur solat hajat pada setiap hari Khamis malam Jumaat bagi seluruh cabang parti itu,” katanya dalam sidang media malam tadi.

 

Katanya, ini kerana parti itu mengecam sekeras-kerasnya segala keputusan yang dikenakan terhadap ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

 

“PKR mengecam sekeras-kerasnya penghakiman kes Fitnah 2 hari ini kerana mendakwa ia adalah satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari semakin mengancam kedudukan Umno-BN.

 

“Dapatan mahkamah (court finding) bahawa Saiful Bukhari Azlan adalah seorang saksi yang berwibawa jelas bertentangan dan tidak konsisten dengan kesemua bukti yang dibentang dan di hujah pihak pembelaan,” ujarnya.

 

Menurut Azizah, PKR istiqomah dan komited untuk tidak mensia-siakan suaminya.

 

“Kita tidak akan menyerah kalah ,” tegasnya lagi.

 

Terdahulu beliau berkata keluarganya akan meneruskan perjuangan parti susulan keputusan Mahkamah yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap suaminya kerana kesalahan meliwat, tujuh tahun lalu.

 

“Alhamdulillah, ini salah satu daripada perjuangan kami, mungkin sedikit pengorbanan daripada saya, anak-anak dan cucu.

 

“Anwar pesan (kepada saya) supaya terus tabah,” katanya.

 

Beliau yang ditemui pemberita semasa keluar dari bilik bicara Mahkamah Persekutuan selepas mendengar penghakiman dan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat suaminya yang juga Penasihat PKR, di sini Selasa.

 

Dr Wan Azizah berkata beliau dan keluarganya akan meneruskan perjuangan parti walaupun mereka terpaksa berdepan dengan saat sedih dan tragik ini.

 

“Saya tidak kata yang kami kuat tetapi kami mendapat kekuatan daripada rakyat dan sokongan,” katanya.

 

Anwar yang juga Ketua Pembangkang hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

 

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan masa depan parti itu dan pengganti Anwar sebagai ketua pembangkang.

 

Sementara itu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah berkata keputusan mahkamah hari ini merupakan hari yang tragik bagi keluarganya.

 

“Ya kami rasa amat sedih … tetapi kami pastinya akan meneruskan perjuangan kami,” kata anggota Parlimen Lembah Pantai itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.