Penganjuran Larian MIM Batal!

Kuala Lumpur: Selepas berdepan pelbagai kontroversi, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akhirnya memutuskan untuk membatalkan penganjuran larian Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) yang sepatutnya dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 23 Mei.

 

Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang mengumumkan perkara itu selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif semalam bagaimanapun berkata, penganjuran larian itu mungkin dibincangkan pada masa akan datang.

 

Yang pasti, jelas Tunku Imran, MIM tiada lagi dalam perancangan MOM tahun ini kerana ada beberapa lagi kejohanan serta acara yang lebih penting untuk diberi tumpuan.

 

“Kita sudah bincangkan sedalam-dalamnya mengenai larian ini dan memutuskan untuk tidak meneruskannya.

 

“Tumpuan selepas ini lebih terarah kepada Sukan SEA di Singapura serta sesi Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) pada hujung Julai,” katanya.

 

Jelas Tunku Imran, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM juga akan berlangsung pada 22 Ogos.

 

“Mungkin larian ini (MIM) akan dibincangkan oleh kepimpinan baru selepas berlangsungnya AGM,” katanya.

 

Beliau turut berkata, hingga kini, tiada sebarang perancangan untuk menggantikan larian itu kepada acara lain sempena meraikan ulang tahun ke-60 badan induk itu.

 

“Setakat ini perkara itu tidak dibincangkan,” katanya.

 

Penganjuran MIM mula mencetuskan kontroversi selepas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim menuntut MOM mendapatkan pengiktirafan daripada pihaknya terlebih dulu jika ingin meneruskan penganjuran larian itu.

 

Bagaimanapun MOM enggan berbuat demikian sehingga mendorong Karim merancang membawa perkara itu kemuka pengadilan.

 

Tunku Imran bersetuju menukar nama larian itu kepada satu nama lain yang tidak memerlukan pengiktirafan KOM, tetapi kira-kira seminggu selepas itu, MOM menerusi Naib Presiden Datuk Danyal Balagopal Abdullah menegaskan mereka akan menggunakan nama asal kerana beranggapan tidak menjadi kesalahan.

 

Perkara itu akhirnya membawa kepada campur tangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menasihati MOM supaya berbincang dengan KOM bagi menyelesaikan isu berkenaan.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.