Pembinaan Laluan MRT Capai Kemajuan 58.5 Peratus

KUALA LUMPUR – Pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer telah mencapai kemajuan 58.5 peratus pada 31 Disember, 2014 dan kadar ini akan dikekalkan apabila projek itu beralih ke fasa ‘kerja sistem’.

 

Ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata beliau akan memastikan momentum diteruskan mengikut jadual dan bajet.

 

“Saya gembira dengan kemajuan yang dicapai setakat ini. Apabila kami beralih kepada bahagian pembinaan sistem, saya akan memastikan kemajuan baik ini  diteruskan,” katanya.

 

Shahril, yang mengambil alih jawatan CEO pada 5 Januari, 2015, berkata demikian kepada pemberita semasa sesi bertemu media di stesen Cochrane dan Tun  Razak Exchange di sini, hari ini.

 

Para pemberita dibawa melawat bahagian satu kilometer terowong antara kedua-dua stesen tersebut.

 

Beliau berkata kerja-kerja bawah tanah yang termasuk pembinaan tujuh stesen bawah tanah dan terowong bagi bahagian bawah tanah sepanjang 9.5 kilometer Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang Line itu sudah siap 73.13 peratus, manakala bagi bahagian bertingkat, 49.2 peratus telah selesai.

 

“Fasa seterusnya kerja-kerja sistem termasuklah memasang landasan kereta api bagi laluan itu, membeli dan mengoperasikan tren, menyediakan bekalan kuasa bagi tren, tanda isyarat, komunikasi dan lain-lain,” katanya.

 

“Laluan Sungai Buloh-Kajang, yang terdiri daripada 31 stesen akan menyediakan kepada 1.2 juta pengguna di sepanjang laluan itu. Ia dijangka beroperasi pada Julai 2017.

 

“Bahagian bertingkat dari Sungai Buloh ke Semantan dijangka beroperasi pada Disember 2016,” kata Shahril.

 

Terdahulu, beliau berkata, Stesen Tun Razak Exchange (Stesen TRX), dengan kepanjangan 250 meter, kelebaran 41 meter dan kedalaman 45 meter, merupakan yang paling dalam antara tujuh stesen bawah tanah Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.

 

“Stesen ini dibina khusus menjadi stesen pertukaran dengan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada masa depan yang merupakan laluan kedua MRT yang akan dibina,” katanya.

 

Sementara itu beliau berkata cadangan penyelarasan bagi laluan kedua dijangka diumumkan kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.