‘Pancing’ Duit Tabung Masjid , Lelaki Dipenjara Setahun

KOTA BHARU – Pengajaran buat seorang lelaki kerana tindakannya mencuri dengan mengail duit tabung sebuah masjid berjumlah RM43, dia dihukum penjara 12 bulan oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

 

Tertuduh, Muhammad Shahrul Izwan Suhaime, 22, mengaku salah didakwa dengan niat mencuri wang kertas bercampur-campur berjumlah RM43 itu di Masjid Mukim Pulau Belanga, Jalan Pengkalan Datu, Binjai, di sini, pada jam 3.30 pagi, 2 Februari lalu.

 

Sebelum itu, pengadu yang sedang berbual dengan rakannya di hadapan rumah yang tidak jauh dari masjid itu terdengar bunyi motosikal berhenti di hadapan masjid.

 

Curiga dengan kehadiran motosikal tersebut, mereka mengintip dan mendapati seorang lelaki iaitu tertuduh sedang mencuri duit tabung masjid yang berada di bahagian luar dengan cara mengail. Menyedari kehadiran pengadu, tertuduh cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan.

 

Pemeriksaan lanjut menjumpai wang berkenaan di dalam poket seluar tertuduh.

 

Pengadu kemudian menghubungi polis sebelum menyerahkan tertuduh kepada pihak berkuasa itu.

 

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal diputuskan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

 

Hukuman diputuskan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.