Malaysia Belum Hadapi Krisis Ekonomi

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Malaysia belum berada dalam krisis dan cabaran ekonomi pada tahun ini serta tidak seteruk krisis yang dialami pada tahun 1985 dan 1998.

 

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, negara masih mengalami pertumbuhan ekonomi dan hal itu merupakan satu petanda positif setakat ini.

 

Malah katanya, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan stabil pada Jun tahun ini sejajar dengan peningkatan harga minyak mentah dunia yang dijangka berlegar-legar sekitar AS$65 (RM234) hingga AS$70 (RM252) setong.

 

Jelasnya, permintaan minyak mentah dunia dijangka meningkat pada pertengahan tahun ini khususnya dari India, China dan Afrika.

 

“Malaysia sepatutnya menerima cabaran ekonomi yang melanda negara pada waktu ini dan menghadapinya dengan baik.

 

”Cabaran ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan meletakkan sesuatu di tempat yang betul,” katanya kepada pemberita selepas Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2015 di sini hari ini.

 

Sebelum itu, dalam sesi soal jawab bersama peserta persidangan, Daim berkata, Malaysia dapat menangani cabaran kejatuhan harga komoditi seperti minyak sawit mentah.

 

Katanya, kejatuhan harga komoditi pada waktu ini disebabkan oleh masalah cuaca.

 

“Pada 1985, harga minyak mentah dunia pernah jatuh di bawah AS$10 (RM36) setong dan minyak sawit mentah di bawah RM600 setan metrik,” ujarnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.