Kemelut Dalaman PAS Dah Jadi “Bangkai Gajah”

Kuala Lumpur – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Nizar Zakaria percaya kemelut kepimpinan dalam PAS sudah menjadi “bangkai gajah” yang sukar untuk ditutup, terutamanya menjelang pemilihan parti itu beberapa bulan akan datang.

 

Tegas beliau itulah realiti dan hakikat yang sedang melanda PAS hari ini walaupun mereka berhempas pulas cuba menutup apa yang berlaku itu dengan pelbagai skrip yang memualkan.

 

“Bak kata pepatah bangkai gajah tutup dengan apa sekalipun akhirnya akan berbau juga. Begitulah perumpamaan yang berlaku terhadap PAS ini. Kemelutnya telah lama berlaku dan pertembungan dalamannya cukup kuat.

 

Namun tambah beliau, sebijak mana sekalipun menutup kecelaruan itu akhirnya pecah jua tembelangnya.

 

“Malah saya secara peribadi melihat perkara itu akan berlanjutan dan akan berterusan. Saling serang menyerang antara kelompok dan akhirnya menyebabkan PAS terus dilanda kemelut yang amat parah,“ katanya, lapor UMNO-Online.

 

Dilaporkan penyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkumpul di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur menjelang mesyuarat jawatankuasa pusatnya bagi menunjukkan sokongan kepada presiden mereka itu.

 

Mereka berhimpun kerana mengesyaki terdapat beberapa anggota parti itu yang mahu menjatuhkan Hadi.

 

Mengulas lanjut, Nizar berkata, peristiwa itu juga menyerlahkan wujudnya pertembungan antara kumpulan tertentu di dalam parti berkenaan yang merupakan masalah dalaman yang sedia wujud.

 

“Itu belum diambil kira pertembungan prinsip dan hala tuju perjuangan dalam parti berkenaan. Maknanya PAS menghadapi pertembungan yang cukup serius yang mana bukan sahaja pertembungan kelompok malah pertembungan prinsip sesama mereka.

 

“Jadi , kita boleh umpamakan PAS seperti meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri. Dalam keghairahan menunjukan mereka adalah yang terbaik, akhirnya terdedah segala kelompongan terhadap parti sendiri,“ ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.