Jika Benar Ini Satu Konspirasi, Kenapa Anwar Tidak Tawarkan DNA – Dr Chandra Muzaffar

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah meliwat bekas pembantunya dan hukuman penjara lima tahun dikekalkan atas kesalahan itu terus dipertikaikan penyokong Anwar termasuk menganggap ia sebagai satu konspirasi.

 

Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, jika benar itu satu konspirasi, kunci penyelesaian untuk membongkar segala dakwaan tersebut kepada khalayak ramai adalah sampel ujian DNA milik tokoh politik itu.

 

Bagaimanapun, Dr Chandra mempersoalkan jika betul Anwar berada di pihak yang benar (tidak bersalah) dan ini hanya satu konspirasi untuk menjatuhkannya, kenapa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak berani memberikan sampel DNA miliknya kepada mahkamah untuk diadili.

 

“Sekiranya Anwar, keluarga, sahabat handai dan penyokongnya begitu yakin ini adalah satu konspirasi untuk jatuhkan beliau, cara yang paling berkesan dan baik untuk mendedahkan konspirasi tersebut adalah melalui DNA Anwar.

 

“Yang mana, DNA itu tidak semestinya dibuat di makmal di Malaysia tetapi boleh juga dihantar untuk dianalisis diluar negara seperti di Eropah atau Amerika Syarikat yang lebih memberi keyakinan kepadanya.

 

“Seterusnya, hasil DNA tersebut diserahkan kepada mahkamah untuk dihakimi secara profesional untuk membuktikan DNA yang dimiliki pendakwa (Mohd Saiful) bertentangan dengan DNA Anwar.

 

“Ini sekali gus menjadikan kes tersebut hancur dan mungkin kerajaan juga akan runtuh kerana orang akan beranggapan ini adalah bukti kepada konspirasi itu,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan peguam pendakwaraya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam yang memperincikan mengenai keputusan liwat Anwar.

 

Dalam kenyataan tersebut, Muhammad Shafee menyatakan bahawa Anwar seolah tidak menggunakan peluang yang selama ini ada jika benar beliau tidak bersalah antaranya mengemukakan sampel DNA dan enggan bersumpah dengan al-Quran mengenai kejadian tersebut.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Dr Chandra yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just) berkata, keengganan Anwar untuk berbuat demikian secara jelas mengukuhkan lagi dakwaan Mohd Saiful bahawa insiden tersebut memang berlaku.

 

“Jawapan saya kenapa Anwar tidak melakukan perkara itu (menyerahkan sampel DNA) kerana memang DNA yang ada pada pihak pendakwaraya adalah milik Anwar dan dia memang melakukan benda ini (liwat) sepertimana yang disahkan atau diputuskan lima panel hakim di peringkat Mahkamah Persekutuan dan tiga panel hakim terdahulu (Mahkamah Rayuan),” jelasnya.

 

Penyokong Anwar Terlalu Taksub

 

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyifatkan sikap penyokong Anwar sebagai terlalu taksub kepada tokoh politik itu.

 

Katanya, sebagai penyokong tegar, mereka selama-lamanya tidak boleh menerima kenyataan tersebut meskipun pelbagai hujah dan bukti telah dibentang secara rasional dan akan terus menganggap ini sebagai satu konspirasi.

 

“Kalaulah esok malaikat turun dan menyatakan sendiri bahawa Anwar adalah bersalah dan mereka tidak boleh terima, tidak mustahil mereka akan mengatakan bahawa malaikat ini sebahagian daripada konspirasi,” ujarnya.

 

Pejabat PMO Tidak Bijak

 

Tambahnya juga, tindakan pihak pejabat Jabatan Perdana Menteri (PMO) yang mengeluarkan kenyataan sejurus keputusan ketua hakim mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful adalah suatu yang tidak bijak dan matang.

 

Sebaliknya menurut Dr Chandra, pejabat PMO seharusnya menunggu sehingga Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman kepada Anwar terlebih dahulu.

 

“Saya ingin menegaskan perkara ini, saya berpendapat bahawa PMO, lebih baik membuat kenyataan selepas hukuman dijatuhkan dan saya menganggap ini satu langkah yang tidak bijak dan tidak matang.

 

“Mereka mempunyai tempoh masa untuk mengeluarkan kenyataan itu memandangkan kenyataan yang diedarkan juga ringkas. Tetapi kenapa mereka tidak menunggu sehingga segalanya diputuskan,” ujarnya. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.