JCorp Taja Penerbitan Akhbar Utusan Melayu Bertulisan Jawi

JOHOR BAHRU 10 Feb. – Bagi memartabatkan tulisan Jawi, Johor Corporation (JCorp) menjalin kerjasama dengan Utusan Melayu (M) Berhad bagi menaja penerbitan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan dalam versi cetak.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif­nya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, Johor merupakan negeri yang gigih memartabatkan tulisan Jawi dalam pelbagai peringkat urusan dan kehidupan dengan penggunaannya dalam sistem pendidikan Islam turut dijadikan contoh oleh negeri lain.

 

“Penggunaan tulisan Jawi secara umumnya menurun khususnya dalam media arus perdana dan urusan pentadbiran kerajaan serta pendidikan di peringkat nasional. Tulisan Jawi seolah-olah dipinggirkan berbanding tulisan rumi yang menjadi medium persuratan utama masa kini.

 

“Menyedari hakikat itu, JCorp mengambil tanggungjawab untuk memperkasakannya dengan penuh kesedaran serta keazaman untuk melihat tulisan Jawi terus wujud, re­levan dan tidak luput ditelan zaman,” katanya pada majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Penerbitan Akhbar Jawi antara JCorp dan Utusan Melayu (M) Berhad di Pejabat Menteri Besar, di sini hari ini.

 

Perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi JCorp.

 

Perjanjian penajaan penerbitan 10,000 naskhah Utusan Melayu Mingguan setiap minggu itu ditandatangani Kamaruzzaman dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi JCorp, Zulkifli Ibrahim manakala Utusan Melayu diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

 

Jcorp - Utusan Melayu

Mohamed Khaled Nordin (lima dari kiri) bersama Kamaruzzaman Abu Kassim (tiga dari kiri), Mohd. Noordin Abbas (tiga dari kanan), Aziz Ishak (dua dari kanan) dan Zulkifli Ibrahim (dua dari kiri) bergambar sambil menunjukkan dokumen perjanjian yang ditandatangani di Pejabat Menteri Besar Johor, Nusajaya, Johor Bahru, semalam. Turut sama Ismail Karim (empat dari kiri), Rozaini Mohd. Sani (kiri) dan Md. Hasidin Zaini (kanan).

 

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan JCorp, Rozaini Mohd. Sani dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Md. Hasidin Zaini.

 

Kamaruzzaman berkata, perjanjian tersebut juga mengambil kira penguasaan tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda Melayu kerana turut menyumbang kepada pembacaan al-Quran yang lebih baik sekali gus membantu mereka mengamalkan ajarannya.

 

Menurutnya, akhbar Utusan Melayu Mingguan yang ditaja JCorp akan diedarkan kepada 262 buah sekolah menengah di seluruh nege­ri, kaunter pejabat kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan sebagai bahan bacaan di masjid.

 

Sementara itu, Mohd. Noordin dalam ucapannya melahirkan rasa kagum dengan kesediaan syarikat milik kerajaan negeri bertaraf konglomerat itu untuk memartabatkan semula tulisan Jawi dalam media cetak selepas langkah serupa pernah dilakukan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran sebelum ini.

 

“Hari ini kami mengharungi sejarah apabila pihak swasta tampil de­ngan penajaan Utusan Melayu Mingguan. Kami harap semoga ada pihak swasta lain yang akan mengikut langkah baik yang didahului JCorp.

 

“Kami sedar akhbar tulisan Jawi ini seolah-olah tidak lengkap dengan penerbitan secara e-paper sahaja tanpa cetakan. Saya harap tajaan ini akan dapat diteruskan lagi pada masa depan. Mungkin ada lapangan atau jurusan lain yang boleh menyaksikan kerjasama antara Kumpulan Utusan dan JCorp,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.