Jackie Chan Bawa Pemenang Oscar Promosi Filem Di KL

KUALA LUMPUR: Selepas 11 hari dikurniakan darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena Hari Wilayah Persekutuan, Datuk Jackie Chan kembali lagi ke Malaysia mempromosikan filem baharu lakonannya, Dragon Blade, hari ini.

 

Tidak datang bersendirian, sebaliknya beliau membawa sekali penerima Oscar, Adrien Brody, selain John Cusack dan artis K-Pop, Choi Siwon.

 

Hadir bersama-samanya ialah aktres China, Lin Peng dan Mika Wang, yang turut membintangi produksi epik bernilai RM233.93 juta itu.

 

Katanya, filem aksi perang berlatarkan era Dinasti Han, yang menjalani penggambaran di padang pasir, memerlukannya mengambil masa hingga tujuh tahun untuk direalisasikan.

 

“Sejak hari pertama lagi kami berdepan pelbagai cabaran di Padang Pasir Gobi, China. Ribut pasir yang tidak menentu bersama cuaca panas 41 darjah Celcius pada siang hari dan kosong pada sebelah malamnya sudah menjelaskan kesukaran itu.

 

“Namun, bekerjasama dengan 800 kru termasuk pelakon dan petugas belakang tabir yang profesional melicinkan tugas, apatah lagi dapat mengumpulkan ramai bintang hebat seperti Adrien Brody dan John Cusack,” katanya pada sidang media, di sini petang tadi.

 

Jackie, yang santai mengenakan kemeja putih, ramah melayani pertanyaan hos dan media tempatan biarpun kelihatan lebih selesa bertutur dalam bahasa Kantonis berbanding Inggeris.

 

Selain sesi wawancara dengan media tempatan di sebuah hotel di ibu negara, rombongan yang mengadakan siri promosi jelajah Asia itu turut bertemu peminat di IOI City Putrajaya dan Pavilion.

 

Dragon Blade dijadualkan tayangannya di pawagam seluruh negara bermula 19 Februari ini. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.