Dua Jiran Gaduh Guna Pedang, Spanar Didakwa

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang berjiran hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan saling mencederakan satu sama lain menggunakan pedang dan spanar, tiga hari lepas.

 

Mohd Amin Mohd Ali, 54, pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM), dan Muhammad Saiful Abdul Wahab, 27, penganggur, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.

 

Mohd Amin didakwa mencederakan Muhammad Saiful menggunakan pedang yang boleh mendatangkan kematian di hadapan rumah di Blok D-3-11, Jalan Taman Intan Baiduri, Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri, Sentul, di sini, kira-kira 1.30 tengah hari, 8 Februari lepas.

 

Dia juga didakwa mencederakan abang kepada Muhammad Saiful, Shahiran, 31, menggunakan senjata yang sama pada tarikh dan di lokasi yang sama.

 

Muhammad Saiful pula didakwa mencederakan Mohd Amin menggunakan spanar besi pembuka tayar yang boleh mendatangkan kematian, pada tarikh dan di lokasi sama.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi Mohd Amin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan terpaksa menanggung dua isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak.

 

Nur A’minahtul Mardiah membenarkan Mohd Amin diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala Muhammaf Saiful yang juga tidak diwakili peguam diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

 

Mahkamah menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.