Balotelli Akhiri Kemarau Gol

LIVERPOOL: Selepas 14 penampilan dan 48 cubaan, penyerang Liverpool, Mario Balotelli, akhirnya menjaringkan gol pertama Liga Perdana Inggeris yang amat berharga untuk pasukan tuan rumah menang 3-2 ke atas Tottenham Hotspur.

 

Penyerang dari Itali itu yang melalui permulaan sengsara di Anfield sejak berpindah dari AC Milan pada Ogos tahun lalu, menamatkan kemarau gol dan merebut tiga mata untuk Liverpool menerusi jaringan pada minit ke-83.

 

Biarpun ia bukan perubahan mutlak nasib Balotelli yang hanya dimasukkan pada minit ke-74 bagi menggantikan Daniel Sturridge , ia mungkin cukup meyakinkan pengurus Brendan Rodgers bahawa dirinya adalah aset berguna untuk beberapa bulan terakhir kempen musim ini.

 

Selepas tidak disenaraikan sebagai pemain gantian dalam saingan Merseyside menentang Everton, Balotelli dimasukkan selepas Liverpool dua kali mendahului Spurs menerusi rembatan Lazar Markovic dan penalti Steven Gerrard tetapi diikat kembali oleh Harry Kane dan Moussa Dembele.

 

Jaringan beliau adalah hasil pergerakan cantik di dalam kotak penalti yang sering kali gagal dilakukan musim ini.

 

Sebelum hantaran lintang Adam Lallana ke depan gawang, Balotelli berlari ke arah gol sebelum meninggalkan pemain pertahanan Tottenham, untuk menguis bola masuk.

 

Ia adalah gol pertama Liga Perdana Inggeris beliau sejak jaringan untuk Manchester City ketika menentang Wigan Athletic pada November 2012.

 

“Mario Balotelli berusaha keras ketika latihan dan beberapa minggu lalu beliau tidak sihat, maka adalah sesuatu yang hebat bila beliau menjaringkan gol kemenangan,” kata pembantu pengurus, Colin Pascoe.

 

Sumbangan Balotelli itu kritikal untuk saingan untuk empat tempat teratas bagi kelayakan Liga Juara-Juara kerana kekalahan akan meletakkan Liverpool yang berada di tangga ketujuh, enam mata di belakang pasukan tempat keempat dengan perlawanan berbaki 13 perlawanan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.