Apple Kini Syarikat Terbesar Dunia, Permodalan Pasaran Lebih AS$700B

SAN FRANCISCO: Apple Inc akan melabur AS$850 juta (RM3 bilion) dalam sebuah loji tenaga suria di California bagi mengurangkan kos pembelian tenaganya, kata pengeluar iPhone itu malam tadi ketika nilai pasaran saham syarikat itu kini buat kali pertama mencecah lebih AS$700 bilion (RM2.5 trilion).

 

Apple kini adalah syarikat senaraian awam terbesar Amerika Syarikat (AS) dan juga dunia daripada aspek permodalan pasaran. Pada penghujung dagangan malam tadi (waktu Malaysia), saham Apple ditutup pada AS$122.02 (RM436.44) sekali gus meningkatkan permodalan pasarannya kepada AS$710 bilion, syarikat pertama di AS yang mencecah paras itu.

 

Pelaburan dalam syarikat penjana tenaga, First Solar Inc akan digunakan untuk membekalkan elektrik kepada kampus baharu Apple di Silicon Valley dan 52 gedung miliknya di negeri itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dalam taklimat di sini.

 

Cook memberi taklimat kepada pelabur selepas permodalan pasaran Apple naik mencecah AS$710.74 bilion buat kali pertama, didorong rekod jualan tertinggi iPhone dan untung terbesar yang pernah dicatat syarikat itu pada suku kewangan berakhir Disember 2014.

 

Loji tenaga suria di Monterey County, akan turut membekalkan tenaga elektrik kepada pusat data Apple di Newark, California.

 

“Kami harap dapat mencatat penjimatan ketara daripada loji berkenaan kerana ada harga tetap bagi tenaga boleh diperbaharui.

 

“Kami di Apple tahu bahawa perubahan iklim memang benar-benar terjadi. Masa untuk bercakap-cakap sudah tamat. Kini adalah masa untuk bertindak,” katanya.

 

First Solar yang berpangkalan di Tempe, Arizona, mengeluarkan panel suria dan membina loji tenaga suria yang sebahagian besarnya dijual kepada syarikat penjana tenaga.

 

Pembinaan loji tenaga suria, California Flat Solar Projek di tapak seluas 2,900 ekar dijangka bermula pada pertengahan tahun ini dan siap menjelang hujung tahun depan, kata First Solar dalam kenyataan berasingan.

 

Apple akan menerima bekalan elektrik 130MW daripada loji itu menerusi perjanjian pembelian tenaga selama 25-tahun. Baki tenaga daripada loji itu sebanyak 150MW akan dijual kepada Pacific Gas and Electric Co.

 

Apple tidak mendapat pegangan ekuiti dalam projek itu dan akan membuat pembayaran sepanjang janji niaga berlangsung, bukannya sekali gus, kata jurucakap First Sola, Steve Krum. – Reuters / Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.