Sting Tumpaskan Sindiket Dadah, Rampas Dadah Bernilai RM3 Juta

KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah yang didalangi warga tempatan dan warga asing, Februari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dengan tertumpasnya dua sindiket tersebut polis menganggarkan nilai keseluruhan dadah yang berjaya dirampas bernilai RM3 juta.

“Polis berjaya menangkap seramai 11 orang ahli sindiket pengedaran dadah yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan tempatan serta enam lelaki dan seorang warganegara Iran dalam serbuan yang dijalankan oleh Sting.

“Turut dibongkar adalah dua buah makmal haram memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Selasa.

Beliau berkata hasil serbuan, Sting, buat pertama kali berjaya merampas sejumlah 11.7 kg kristal syabu, 11.6 kg cecair syabu, 3.5 kg heroin, 1,100 biji pil ekstasi, 4.6 kg serbuk ephedrine dan 7.9 kg serbuk bahan kimia secara keseluruhannya.

Sting merupakan pasukan elit yang ditubuhkan untuk membanteras aktiviti ‘raja dadah’ atau ‘kingkin dadah’ yang baharu dilancarkan hujung Januari lalu.

Menurut Noor Rashid, modus operandi sindiket ini ialah dengan menyewa kediaman jenis kondominium mewah dan konco-konco yang terlibat akan melakukan aktiviti memproses dadah di situ.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah diedar di sekitar Lembah Klang, namun tidak menolak kemungkinan ia juga diedar di luar Lembah Klang.

Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berjaya ditahan dalam serbuan pertama pada 6 Februari di sebuah rumah di Taman Maluri, Kepong, kira – kira pukul 1.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas tiga bungkusan plastik dadah heroin seberat 1.2 kg yang dijumpai di dalam sebuah peti kayu.

“Seorang lagi lelaki telah ditahan pada hari yang sama di sebuah rumah di Batu Caves, lebih kurang pukul tiga pagi hasil tindakan susulan,” katanya.

Beliau menambah, serbuan di Batu Caves membawa kepada penemuan sebuah makmal memproses dadah.

Noor Rashid berkata, serbuan berikutnya dijalankan dua hari selepas serbuan pertama di tiga buah rumah berasingan di kawasan Cyberjaya, Jalan Ipoh dan Jalan Ampang.

Serbuan di Cyberjaya dan Jalan Ipoh di antara pukul 3.30 dan 4 pagi itu membawa kepada penangkapan enam lelaki dan seorang warganegara Iran.

“Salah seorang lelaki yang ditahan pernah ditahan pada tahun lepas tetapi dilepaskan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Dalam serbuan di Jalan Ampang pada pukul 8.20 pagi, sebuah lagi makmal haram berjaya dibongkar.

“Sejam selepas itu polis berjaya menahan sepasang suami isteri warga tempatan di Sungai Besi yang mana hasil pemeriksaan polis merampas dua plastik dadah jenis syabu di dalam kereta.

“Polis turut menyita wang tunai sebanyak RM213,308 dan tiga buah kenderaan jenis Toyota Vios, Honda City dan Honda Jazz,” jelasnya.

Noor Rashid berkata kejayaan ini adalah hasil maklumat orang ramai dan tindakan penguatkuasaan berterusan oleh JSJN serta pasukan elit Sting untuk membanteras dadah dalam negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.