Pengganti Taib Diumum Sabtu?

KUCHING – Tanda tanya siapakah yang bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu masih belum berakhir apabila Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak membuat sebarang pengumuman walaupun beliau dikatakan akan berbuat demikian hari ini.

Sebaliknya, Abdul Taib memberikan ‘petunjuk’ baharu iaitu nama penggantinya akan diumumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada Sabtu ini.

Beliau memberikan alasan perlu mematuhi protokol dengan memohon perkenan nama calon pilihan terlebih dahulu.

Sambil memberi bayangan bahawa beliau sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk menyumbang kepada negara secara lebih santai, Ketua Menteri selama 33 tahun itu menegaskan pengumuman nama pengganti tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa.

“Tidak..tidak (tiada pengumuman calon), saya perlu masa dan mematuhi protokol. Saya akan jumpa TYT (Yang Dipertua Negeri Sarawak) pada 15 Februari ini.

“Pada masa sama, saya juga tidak sabar untuk melakukan perkara bermanfaat kepada negara dalam keadaan lebih santai pada masa hadapan. Tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Ke-42 Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Industri negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid menganugerahkan pingat Timbalan Ketua Kehormat Rela kepada Abdul Taib.

Sementara itu, petugas media mula berkampung di Wisma Bapa Malaysia yang menempatkan pejabat Ketua Menteri sejak pukul 9.30 pagi selepas menerima maklumat Abdul Taib mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid dan Khalid bagi membincangkan soal pilihan raya negeri.

Namun, Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas itu menafikan pertemuan dengan Abdul Taib membincangkan soal pilihan raya sebaliknya berkisar kepada isu keselamatan di negeri ini.

Kenyataan itu disokong oleh Awang Tengah yang menjelaskan, pertemuan antara kerajaan negeri dan Ahmad Zahid adalah pertemuan yang biasa diadakan dari semasa ke semasa bagi membincangkan isu keselamatan.

Terdahulu, Ahmad Zahid menganugerahkan pingat Timbalan Ketua Kehormat Rela kepada Abdul Taib.

Abdul Taib dalam ucapan pula memberitahu, kerajaan negeri bersetuju meluluskan tapak yang sesuai untuk membina Ibu Pejabat Rela di negeri ini.

Beliau juga bersetuju memberi peruntukan berjumlah RM250,000 kepada Rela untuk membeli uniform digital bagi 90 peratus daripada 290,000 anggota Rela yang belum menerimanya di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.