KUALA LUMPUR- Tan Sri Abu Zahar Ujang tegas menyatakan beliau sedia disiasat oleh mana-mana organisasi berhubung kenyataannya pada 5 Januari lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Abu Zahar yang menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) pada sidang media hari ini di Putrajaya, berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.

Selain itu beliau turut meluahkan kekecewaan dengan kenyataan terbuka enam anggota lembaga itu yang menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media pada 5 Januari, dipercayai dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak.

Abu Zahar juga mendakwa cara media melaporkan sidang medianya itu telah memberi gambaran tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, semasa sidang media itu, kenyatan penuh sebanyak 13 muka surat yang mengandungi keseluruhan kenyataannya diedarkan, namun didakwanya tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbang salah tanggapan.

“Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan ‘alegasi salah laku’ terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang telah diberi pandangan dan pendapat oleh LPPR.

“Tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media. Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tular cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya,” katanya memetik BH.

Abu Zahar dalam satu sidang akhbar minggu lalu berkata, lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan Azam dan mendapati tiada elemen konflik kepentingan.

Azam juga dilaporkan berkata bahawa pihak atasannya dimaklumkan apabila dia membenarkan adiknya, Nasir, membeli saham menggunakan akaun dagangannya pada 2015 iaitu ketika mengetuai bahagian siasatan SPRM.

Kredit Foto: Astro Awani