Tindakan Latheefa Koya Dedah Rakaman Audio Najib Jejas Imej PH, Kata Pemimpin PKR

KUALA LUMPUR – Ada kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak senang dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio perbualan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Komunikasi PKR Pahang, Wan Fauzuldin Wan Samad ketika mendedahkan perkara itu berkata, perbuatan itu sedikit sebanyak menjejaskan imej PH kerana ramai tidak bersetuju dengan tindakan dilakukan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

“Kita akui pendedahan ini tidak disenangi ramai pimpinan PH. Ramai kalangan mereka mendesak Latheefa meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Walaupun pendedahan ini dianggap sesetengah pihak sebagai modal besar bagi PH, namun cara dilakukan SPRM itu kurang tepat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Wan Fauzuldin berkata, sudah tentu pembangkang lebih lagi tidak suka dengan pendedahan itu termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dalam kenyataannya semalam menyatakan rakaman audio tidak boleh jadi ‘saksi’.

Katanya, rakaman audio itu bukan boleh dijadikan saksi tapi sebahagian daripada bahan bukti sahaja.

Mengulas lanjut, Wan Fauzuldin berkata, bagi pimpinan PH, mereka mahu kerajaan lebih profesional, adil dan berintegriti dalam mendedahkan bahan bukti yang melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh bekas Perdana Menteri terdahulu dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Apa beza antara penentang Latheefa dalam PH dengan pembangkang? Bezanya, kami dalam PH mahu kerajaan bersikap profesional, adil dan berintegriti.

“Mereka dari PH yang menentang tindakan SPRM itu hanya mahu sebarang bukti yang ditemui perlu dikemuka di tempat betul iaitu mahkamah, bukan di didedah pada media secara terbuka walaupun tindakan itu menguntungkan politik PH,” ujar beliau.

Beliau turut menjelaskan, apa yang berlaku kepada pemimpin BN hari ini adalah balasan yang dilakukan mereka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan liwat.

Katanya, di era BN sebelum ini, apa yang mereka tidak dedahkan di media kepada rakyat untuk memalukan musuh politiknya.

“Tilam, cadar dan bantal dengan tompokan air mani pun mereka usung dan tayangkan di televisyen untuk memfitnah lawan politik mereka.

“Video hitam putih yang digunakan untuk fitnah Anwar pun mereka jadikan bahan utama di televisyen dan akhbar.

“Berulangkali mereka tayang di media kawalan mereka. Sekarang apabila terkena batang hidung sendiri, baharu mereka kenal apa itu keadilan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.