Serangan Iran Sasar Pangkalan Tentera AS Untuk Tayang Kehebatan Peluru Berpandu

Serangan balas dendam terhadap pembunuhan komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral, Qassem Soleimani sebenarnya mahu menyampaikan mesej jelas kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengarahkan tindakan itu.

Ketika ini, Iran sentiasa bersiap siaga untuk bertindak balas terhadap sebarang provokasi AS.

Sehari selepas jenazah Soleimani yang merupakan seorang tokoh berkarisma IRGC selamat dikebumikan, Teheran nekad melancarkan serangan ‘Martyr Soleimani’ untuk menuntut bela atas kematiannya.

Pada awal pagi Rabu, IRGC melancarkan kira-kira 22 misil balistik menyasarkan dua pangkalan tentera AS di Ain al-Asad di bahagian barat dan bandar Erbil di barat Iraq di bawah arahan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Masyarakat antarabangsa mengikuti perkembangan krisis terbaharu di Asia Barat tersebut dengan penuh cemas malah ia turut disiarkan secara langsung untuk rakyat Iran.

Menteri Luar Iran, Javad Zarif yang cuba meredakan ketegangan itu menerusi Twitter memaklumkan Teheran berhasrat untuk mencari penyelesaian diplomatik terhadap krisis tersebut.

Beliau turut menyifatkan serangan itu sebagai langkah setara untuk mempertahankan diri di bawah Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami tidak mahu mencetuskan peperangan sebaliknya ia adalah satu tindak balas terhadap pencerobohan,” ujarnya.

Iran juga didakwa telah memaklumkan rancangan serangan misil ke atas pangkalan tentera AS itu secara terus kepada Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi kira-kira dua jam sebelum insiden itu.

Baghdad kemudiannya berkongsi maklumat itu dengan komander tentera AS yang mengambil langkah segera memastikan kesemua anggota mereka berlindung di dalam kubu pertahanan.

Peluru berpandu canggih

Aspek paling penting dalam serangan balas Iran adalah cara misil tersebut dilancarkan yang bertujuan untuk membuktikan kehebatan peluru berpandu dibangunkan mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, Teheran mencapai kemajuan ketara dalam konteks kebolehpercayaan, jangkauan dan ketepatan peluru berpandu balistik milik mereka berbanding senjata sebelum ini yang menggunakan misil SCUD era Soviet yang didakwa kurang tepat.

Serangan ke atas pangkalan tentera AS itu menggabungkan peluru berpandu baharu yang canggih, Qaim 1 dan Fahad-110 yang mempunyai sistem panduan dan kawalan untuk menentukan ketepatan sasaran.

Teheran pernah menggunakan misil tersebut dalam serangan ke atas kumpulan yang menjadi sekutu militan Daesh dan ia juga bukan pertama kali digunakan ke atas Washington.

Berdasarkan perspektif AS, impak peluru berpandu tersebut sememangnya amat besar.

Walaupun serangan misil terbabit tidak menyebabkan sebarang kematian di pangkalan Ain al-Asad atau Erbil, ia sebenarnya membuktikan ketepatan peluru berpandu milik Iran.

Gambar satelit memaparkan kesan kemusnahan pangkalan tentera Ain al-Asad seperti hasil serangan kuasa lebih hebat seperti AS, Rusia, China dan pakatan Perjanjian Pertubuhan Perjanjian Atlantik (NATO).

Iran melancarkan 17 misil ke atas pangkalan tentera Ain al-Asad, namun dua daripadanya gagal meletup manakala lima lagi dilancarkan ke atas Konsulat AS di Erbil.

Komander AS mendakwa Teheran sengaja mengalihkan sasaran peluru berpandu tersebut agar tidak mengenai konsulat terbabit kerana mahu menghantar mesej jelas ‘jika mereka mahu berbuat demikian, bangunan konsulat tersebut pastinya sudah musnah dibedil’.

Trump terpaksa berundur?

Trump yang meningkatkan perang retorik ke atas Iran sejak beberapa hari lalu terpaksa berdepan realiti ‘kekuatan Teheran’ selepas beliau melancarkan permusuhan dengan negara tersebut.

Sebelum ini, bilionair hartanah itu dengan angkuh berikrar akan melancarkan serangan balas besar-besaran ke atas Iran jika ia menyerang anggota tentera atau kemudahan AS.

Hasil perbincangan dengan pasukan keselamatan negara di Rumah Putih, Trump akhirnya terpaksa menarik balik semua ugutan yang dibuat ke atas Teheran kerana menyedari impak kemusnahan yang bakal dihadapi AS dan sekutunya di Asia Barat termasuk Israel, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Serangan AS mungkin boleh menyebabkan kemusnahan yang tidak dapat dibayangkan ke atas Iran, namun kesan yang bakal diterima oleh mereka dijangka jauh lebih besar.

Perang retorik dilancarkan Trump sememangnya agresif dan beliau juga masih menganggap Teheran sebagai sebuah negara ‘penyangak’ yang mengejar teknologi nuklear, misil balistik dan kedudukan sebagai kuasa besar di Asia Barat.

Tetapi, serangan misil Iran itu telah membuka realiti baharu dan beliau tidak lagi lantang seperti sebelum ini.

Ali Khamenei dalam satu kenyataan memberitahu serangan tersebut hanya satu ‘tamparan’ buat Washington kerana membunuh Soleimani.

Beliau juga menegaskan Teheran akan merealisasikan cita-cita komander kanan IRGC terbabit untuk mengusir keluar tentera AS dari Teluk Parsi seperti diluluskan Parlimen Iraq akhir minggu lalu.

Menerusi ucapan kepada rakyat Amerika, Trump terus berpegang teguh dengan pendirian anti-Iran beliau.

Persoalannya kini, adakah Presiden AS dan rakyat Amerika bersedia berdepan situasi di mana misil canggih Teheran mampu menyebabkan kematian dan kemusnahan pada skala yang tidak tercapai dek akal.

*Artikel yang diterbitkan oleh portal Russia Today (RT) ini adalah hasil tulisan Scott Ritter, bekas pegawai risikan Pasukan Marin AS. Beliau pernah berkhidmat sebagai pemerhati pelaksanaan Perjanjian INF ketika Perang Teluk (1991-1998).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.