Pemuda PPBM Dakwa Kenyataan Rafizi ‘Paksa’ Peralihan Kuasa Cetus Perpecahan PH

KUALA LUMPUR – Pemimpin kanan PKR, Rafizi Ramli didesak menarik balik kenyataannya berhubung proses peralihan kuasa Perdana Menteri boleh dipaksa jika penyandang enggan berbuat demikian.

Desakan itu dibuat EXCO Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU / PPBM), Muzzammil Ismail, sambil meminta Rafizi tidak mengulangi gesaan demikian demi keutuhan Pakatan Harapan (PH).

“Membuat kenyataan provokasi memang mudah. Tetapi untuk mengurus persepsi itu yang sukar. Perpecahan akan berlaku. Adakah ini yang mereka mahukan?

“Saya mendesak Rafizi menarik balik kenyataan tersebut demi menjaga kesepakatan yang terjalin antara parti komponen PH. Cukup-cukuplah. Tidak lari gunung dikejar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau percaya kenyataan Rafizi itu membuatkan pimpinan dan ahli akar umbi BERSATU marah.

“Jangan paksa kami ahli BERSATU bertindak di luar kesepakatan PH!. Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) wajib membetulkan keadaan dan mengawal tindak tanduk pimpinan parti itu.

“Belajar menghormati proses perbincangan dalam Majlis Presiden PH. Dengan tindakan desak mendesak ini hanya akan membuatkan ahli kami (BERSATU) bertindak di luar kesepakatan PH,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Rafizi hanya membuatkan pimpinan PH saling berpecah, bukannya sebegini cara untuk mendesak transisi kuasa Perdana Menteri.

Rafizi seperti dipetik menerusi satu portal media menyatakan tarikh persaraan yang jelas boleh dipaksakan ke atas Dr Mahathir Mohamad jika beliau enggan memberikan komitmen terhadap peralihan kuasa menjelang awal tahun depan.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan, PH mungkin terpaksa mengambil pendekatan itu kerana rakyat mula hilang sabar berhubung penyerahan jawatan perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.