VIDEO: Kos Perubatan Disebabkan Rokok Lebih Tinggi Dari Cukai Yang Dibayar – Lee Boon Chye

GOMBAK – Pihak industri tembakau mengeluh terhadap pelaksanaan larangan merokok di premis makanan kerana kesan ekonomi terhadap industri terjejas.

Namun bagi Kementerian Kesihatan sejak pelaksanaan itu dikuatkuasakan, ia lebih terjurus ke arah positif terhadap kesihatan rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menegaskan kesan ekonomi terhadap industri tembakau tidak sebesar kerajaan menanggung kos perubatan berhubung penyakit berpunca dari tabiat merokok.

“Kita ambil maklum berkenaan pihak industri yang membayar cukai rokok kepada kerajaan, namun kita mahu menegaskan kos perubatan disebabkan rokok adalah lebih tinggi.

“Kesihatan masyarakat adalah lebih utama maka pelaksanaan ini perlu berterusan.

“Disamping itu, kerajaan juga sedang meneliti beberapa kawasan untuk diperluaskan larangan merokok, bagaimanapun ia memerlukan perbincangan pelbagai pihak,” katanya.

“Kami mendengar luahan perokok yang kesal dengan keadaan ini, namun masyarakat yang tidak merokok ini lebih berhak untuk hidup dalam keadaan bebas asap rokok.

“Bagi perokok itu sendiri, mereka perlu berfikiran terbuka kerana hanya 23 kawasan saja yang diwartakan sebagai larangan merokok termasuk premis makanan, pejabat kerajaan, tandas dan institusi pendidikan tinggi,” katanya selepas merasmikan Program Out Reach DRsforALL, di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), di sini, hari ini. -SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.