SPR Gesa Saksi ‘Insiden’ Senator PKR Ugut Tok Batin Untuk Tampil Buat Aduan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun menggesa saksi yang menyaksikan ucapan senator PKR mengugut tok batin Orang Asli, agar tampil membuat aduan kepada badan tersebut.

Azhar yang dipetik Malaysiakini berkata, saksi tersebut perlu mengemukakan aduan rasmi kepada SPR bagi membolehkan siasatan dibuat.

“Sesiapa yang menyaksikan insiden itu – khususnya memiliki rakaman video kenyataan tersebut, saya nasihatkan mereka membuat aduan.

“Kalau betul kejadian itu berlaku dan ada kenyataan tersebut benar-benar diucapkan, laporan perlu dibuat, sesuai dengan kenyataan media saya sebelum ini,” katanya kepada portal tersebut.

Terdahulu senator PKR itu, Bob Manolan Mohamad dalam satu dialog wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan 18 tok batin di Pos Betau, Cameron Highlands siang tadi berkata mereka mungkin kehilangan gaji dan jawatan jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil parlimen itu, 26 Jan ini.

“Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

“Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

“Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” katanya dipetik ketika sesi dialog tersebut.

Ucapannya itu mengundang kritikan pelbagai pihak bukan saja pembangkang, malah daripada pro PH sendiri.

Bekas pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga menerusi Twitter beliau menyifatkan ia sebagai perbuatan memalukan. 

Ketua Biro Agama PKR yang juga penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dengan sinis berkata, menjadi ahli PKR tidak pernah disyaratkan bijak, demikian juga dipilih sebagai senator. 

Bagaimanapun Bob Manolan dalam kenyataan balasnya kemudian menafikan beliau mengugut tok batin, sambil berkata apa yang ingin disampaikannya ialah, ketua-ketua masyarakat Orang Asli itu tidak sepatutnya terlibat dengan UMNO dan pada masa sama menerima eluan daripada kerajaan pusat. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.