Kenaikan Tarif Air Tidak Akan Bebankan Rakyat, Kata KM Melaka

MELAKA – Rakyat Melaka bakal berdepan dengan kenaikan kadar tarif air seperti diumumkan kerajaan Pusat baru-baru ini namun kenaikan itu tidak akan membebankan mereka.

Ketua Menteri, Adly Zahari memberitahu, pihaknya memberi jaminan kenaikan itu yang pasti berlaku tidak akan membebankan rakyat terutama golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata, pihaknya akan mencari mekanisme dan kaedah terbaik untuk membantu golongan itu termasuk memperkenalkan insentif kepada kumpulan sasaran B40.

“Selain itu, kerajaan negeri akan menawarkan formula insentif kepada isi rumah yang melakukan penjimatan penggunaan sumber air.

“Dua kaedah yang dibincangkan bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) tentang tarif air yang dijangka tetap akan berlaku dan antara faktor kenaikan disebabkan kos penyelenggaran yang semakin meningkat,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dataran Seri Negeri di Ayer Keroh pagi ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim.

Adly bagaimanapun berkata, pihaknya belum menetapkan peratusan kenaikan kadar tarif itu kerana ia bergantung kepada hasil rundingan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam tempoh terdekat.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli baru-baru ini mencadangkan kenaikan tarif air secara berperingkat-peringkat pada tahun ini.

Pulau Pinang setakat ini mengesahkan tarif air negeri itu naik sehingga 20 peratus, Negeri Sembilan dan Perak pula masih mengkaji kesan kepada pengguna manakala Johor tidak akan menaikkan kadar tarif utiliti itu atas alasan sudah melakukannya pada 2015. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.